Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Sunday, January 8, 2012

Berhutang dan pinjam-meminjam termasuk tolong-menolong sangat dianjurkan agar orang yang dalam kesusahan atau kesulitan dapat memperoleh kemudahan. Islam menganjurkan umat manusia untuk tolong-menolong dan bantu-membantu dalam hal kebaikan.

Di dalam al-Quran disebutkan: “…Dan hendaklah kamu bertolong- tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” (Q.5: 2)

Oleh sebab berhutang dan meminjam ini dimaksudkan untuk tolong-menolong, maka sangat wajar apabila pihak yang berhutang atau yang meminjam dapat menjaga amanah, termasuk memelihara barang pinjaman dan mengembalikannya tepat pada waktunya.

Al-Quran menjelaskan secara terperinci bahawa kedua-dua belah pihak yang melakukan urusan dengan cara berhutang, baik dalam jumlah kecil mahupun besar, hendaklah mencatat urusan tersebut.

Peminjam harus bertanggungjawab penuh jika barang yang dipinjam hilang atau rosak, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Pemegang berkewajipan memelihara apa yang telah diterimanya sehingga benda itu dipulangkan kepada pemiliknya.“ ( Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Di dalam al-Quran (Q.2: 282-283), dianjurkan untuk mencatat hutang-piutang. Apabila catatan tidak dapat dibuat, maka kedua- dua belah pihak boleh merujuk kepada pihak ketiga untuk menulis syarat yang dipersetujui seperti ciri barang, harga yang ditetapkan dan waktu pembayaran secara jelas dan pasti.

Selain itu, juga dianjurkan agar urusan dilakukan di hadapan saksi yang diharapkan dapat memberikan kesaksian jika pada kemudian hari terjadi perselisihan di antarakedua- dua belah pihak.

Peminjaman sesuatu barang hanya sah jika barang tersebut halal dan dimanafaatkan untuk kebaikan yang dibolehkan oleh syarak.

Apabila tiba waktu membayar hutang atau pinjaman, orang yang berhutang atau si peminjam harus segera membayar atau mengembalikannya kepada pihak yang memberikan hutang atau pinjaman.Tidak ada alasan untuk menangguhkan pembayaran hutang atau pinjaman tersebut.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang yang dipinjam itu harus dikembalikan.“ (Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud

Ada tiga syarat yang harus dipenuhi agar barang yang dijadikan objek urus niaga dapat berpindah secara sah ke tangan orang yang berhutang atau peminjam.

Pertama, harta yang dipinjamkan harus betul-betul milik dan berada di bawah kekuasaan pihak yang meminjamkan. Seseorang tidak boleh meminjamkan barang yang bukan miliknya atau bukan di bawah kekuasaannya.

Kedua, barang yang dipinjamkan ialah barang yang halal dan dapat dimanafaatkan.

Ketiga, penggunaannya dalam ruang lingkup yang dibolehkan dalam agama.

Dalam bahasa Arab, hutang disebut dain, manakala pinjaman disebut ariyah. Mengikut istilah bahasa Arab, hutang merujuk kepada kebenaran untuk menggunakan harta yang diputuskan akan dikembalikan pada waktu yang dipersetujui, misalnya berhutang wang.

Pinjaman pula merujuk kepada kebenaran untuk memanfaatkan barang, dan akan dikembalikan mengikut persetujuan.

Barang yang digunakan mesti dikembalikan seperti sediakala. Di Malaysia, skim pajak gadai Islam (al-Rahn) telah diperkenalkan untuk membantu mereka yang ingin meminjam wang dengan meletakkan barangan kemas.

Susunan MARIAH OTHMAN
Sumber : ummatanwasatan.net
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment