Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Monday, January 2, 2012


Hubungan lelaki dan perempuan adalah fitrah kejadian yang ditetapkan oleh Allah taala, hubungan yang dijalinkan hendaklah atas dasar syariat. Firman Allah taala ;

Maksudnya; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Al-hujurat-13

Dalam Islam hubungan tersebut adalah ikatan perkahwinan yang sah. Timbul persoalan apabila pasangan yang berkahwin selalu menghadapi masalah dalam rumah tangga, apabila membincangkan perkara ini, ada pihak yang mendakwa perkahwinan yang berdasarkan hawa nafsu akan sering dilanda masalah, adapun perkahwinan yang didasari dengan kasih sayang kurang mempunyai masalah.

Pada pandangan saya ikatan kekeluargaan itu terdiri daripada ikatan antara dua insan yang berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan yang mempunyai hormon yang berbeza. Sudah tentu dua insan ini berbeza dari segi emosi, pemikiran, jasmani dan rohaninya. Maka apabila berlaku masalah dan pertengkaran, masing-masing akan mempertahankan diri dengan emosi dan pemikiran tersendiri. Sekiranya keluarga itu tidak bijak mengawal emosi maka akan bertambah parah masalah tersebut dan sebaliknya.

Perkahwinan atas dasar kasih sayang memang tidak dapat disangkal lagi sebagaimana firman Allah taala;

Maksudnya; “Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir”.ar-Ruum-21


Dalam ayat ini dapat difahami bahawa nikmat kasih sayang itu wujud dalam suasana hubungan antara lelaki dan perempuan yakni selepas bergelar suami dan isteri. Imam al-Alusi dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa : “diciptakan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri( yakni asal penciptaan hawa dari rusuk adam), supaya kamu cenderung kepadanya, sesungguhnya faktor sejenis ini akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang”.

Berkahwin kerana nafsu, bukan kerana kasih sayang selalu menjadi hujah sesetengah golongan isteri yang kononnya kecewa dengan suami mereka yang tidak mengendahkan perasan,dan hati isteri dalam kehidupan berumah tangga. Isteri dikatakan menjadi mangsa suami, yang mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya. Namun dalam menyelesaikan hubungan rumah tangga suami dan isteri harus bermuhasabah diri masing-masing, dan perlu bertolak ansur. Hujah ataupun tohmahan ini dilihat seolah-olah nafsu itu sesuatu yang buruk dan amat keji, sedangkan perasaan kasih sayang sendiri memerlukan kepada nafsu, makan perlu kepada nafsu, tidur dan kehidupan keseluruhannya perlu kepada nafsu.

Apakah yang dikatakan nafsu itu. Nafsu itu satu perkataan daripada bahasa arab dan dalam Bahasa Melayu membawa erti keinginan yang kuat. Jadi semua perkara tidak akan berlaku dan terjadi melainkan dengan adanya keinginan dalam diri kita. Adapun keinginan dan perbuatan kita didorong oleh nafsu, sama ada nafsu yang mengajak kepada kebaikan ataupun yang mengajak kepada kejahatan.

Nafsu terbahagi kepada nafsu muthmainnah, nafsu lawwamah, nafsu mulhimah, dan nafsu amarah. Tingkatan nafsu yang paling buruk ialah nafsu amarah, iaitu nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Dan nafsu inilah yang perlu kita bendung dengan berkahwin, supaya diri kita tidak dikawal olehnya lalu menjerumuskan diri dalam lembah kehinaan.

Sekiranya dikatakan, ada sesetengah pasangan yang berkahwin bukan kerana keinginan dan nafsu kasih sayang, yang ada hanya nafsu keinginan seks semata, ya saya katakan ada, ini kerana berkahwin atas dasar keinginan seks adalah bagi menghalang diri daripada melakukan kemaksiatan yang merosakkan, selagi mana perkahwinan itu tidak melanggar etika dan peraturan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh syariat. itu juga yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W. , sabdanya yang bermaksud;

Daripada A’lqamah ra berkata: ketika aku berjalan bersama Abdullah r.a, Abdullah berkata: satu ketika kami bersama Rasulullah S.A.W, lalu beliau bersabda: “sesiapa di antara kamu yang ada keinginan seks ( Jimak ) hendaklah dia berkahwin, kerana dengan berkahwin dapat memelihara pandangan dan juga kemaluan daripada terjebak dalam melakukan kemaksiatan. Bagi sesiapa yang tak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menghalang nafsu”. (muttafaq alaih)

Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa; pendapat ulama terbahagi kepada dua dalam makna “al-baah”.

Pertama dan yang paling sahih: maknanya pada bahasa iaitu jimak. Maksudnya sesiapa di antara kamu yang mampu berjimak dan mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah ia berkahwin.

Kedua: maknanya nafkah perkahwinan. Maksudnya sesiapa yang mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah berkahwin, dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa bagi mengekang syahwatnya. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan: maksud sabda nabi “ sesiapa yang tak mampu hendaklah ia berpuasa” mereka berkata; bagi mereka yang tidak mempunyai keinginan seks (jimak) tidak perlu berpuasa untuk mengekang nafsu syahwatnya. Maka wajib mentakwilkan “al-baah” itu kepada kemampuan nafkah

Jelas dalam hadis ini, saranan daripada Rasulullah agar pemuda-pemuda berkahwin bagi mengekang nafsu daripada dilepaskan tidak pada tempatnya. Maka berkahwin di sini atas dasar menghalang nafsu ammarah daripada menguasai diri adalah wajib hukumnya.

Tidak semestinya berkahwin dengan sebab nafsu tidak mempunyai kasih sayang. Ketika proses memilih calon isteri dan bertunang kita digalakkan untuk memilih calon yang sekufu yakni yang sesuai dengan diri kita. Tempoh bertunang merupakan satu tempoh untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang agar permulaan di alam rumah tangga bermula dengan baik.

Islam amat memandang berat kepada kesalahan zina kerana ia mengakibatkan keruntuhan sistem kekeluargaan, begitu juga perkara-perkara yang menjebakkan diri dalam kancah zina, seperti berpakaian menjolok mata, melihat aurat bukan muhrim, bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa sebab, berdua-duaan lelaki dan perempuan dan sebagainya. Firman Allah taala;

Maksudnya : “dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Al-Israa’ 32
 
Kesimpulannya berkahwin kerana nafsu bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam kancah perzinaan bukanlah satu kesalahan bahkan satu kewajipan. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyatakan perkahwinan disebabkan nafsu tidak membawa kebahagian dan memporak-perandakan rumah tangga.
 
Oleh Ramzi Ramli
Penulis merupakan Pengurus Pengislaman di Jabatan Yang Dipertua, YADIM
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment