Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Monday, January 2, 2012

Melayari laman pornografi adalah diharamkan kerana orang Islam diperintahkan menjaga pandangannya apatah lagi melihat anggota sulit orang lain. Apa yang lebih bahaya perbuatan seumpama ini mendatangkan kemudaratan dari segi psikologi dan sosial. Selain itu, masyarakat terbanyak, terutamanya remaja, membazirkan banyak masa dan hidup mereka melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Sebagai seorang Muslim, kita diperintahkan menggunakan masa untuk tujuan kebaikan hidup di dunia ini, merancang untuk hari esok dan membuat kebajikan demi kebahagiaan hidup di akhirat kelak.

Nasihat kami terutamanya kepada golongan muda agar berhati-hati dengan larangan Allah dan kesempatan zaman muda mereka. Mereka harus beringat bahawa soal kesempatan hidup dan keremajaan mereka akan ditanya di akhirat kelak. Satu hadith berbunyi: "Anak Adam tidak akan berganjak selagi belum selesai soalan mengenai lima perkara: Waktu hidupnya dan apa yang dilakukannya, bagaimana dihabiskan zaman remajanya, kekayaannya dari mana didapati dan ke mana dibelanjakan, dan tindak tanduknya sejauh mana mengikut ilmu pengetahuannya."

Kita akan ditanya mengenai hidup ini memandangkan ia adalah anugerah terbesar daripada Allah. Dan mereka yang membazirkan kesempatan hidup di muka bumi ini dengan melayari laman web lucah telah mensia-siakan anugerah bernilai daripada Allah ini. Sedangkan kesempatan hidup seharusnya digunakan untuk mencari kebahagiaan di alam baqa´, bukanlah sekadar memenuhi tuntutan keinginan hawa nafsu serakah. Kehidupan di alam abadi ini segalanya dirahmati Allah, tiada kemelaratan, sakit mahupun nyanyuk. Dan semua ini hanyalah bagi mereka yang memilih jalan hidup yang lurus, terhormat dan menurut syariat Allah.

Ingatlah wahai orang muda, beringatlah semasa usia muda anda. Remaja bukanlah masa untuk berhibur dan berseronok sahaja, tetapi inilah masanya untuk berusaha mencapai cita-cita.

Orang muda adalah penentu kebangkitan dan kejatuhan suatu bangsa. Semakin kuat mereka berpegang teguh kepada prinsip dan nilai murni, semakin kuatlah bangsa itu. Semakin teruk mereka terjerumus kepada sifat keji, semakin mundurlah bangsa itu. Oleh itu, memang patutlah kita mendidik pelapis bangsa ini.

Kita merasa terpanggil untuk menasihati para remaja ini agar melihat kembali keutamaan dalam hidup mereka dan meninggalkan perkara yang remeh-temeh. Kematian boleh sahaja datang menjemput pada bila-bila masa. Samalah seperti seorang banduan menunggu saat hukuman mati. Tiada siapa yang tahu bilakah masanya tetapi semua harus bersiap sedia. Firman Allah: "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.” (Ali Imran, 3:185)

Berikut adalah langkah-langkah mengatasi ketagihan pornografi untuk semua golongan umur:

LANGKAH PERTAMA: MENGAKU BAHAWA ANDA TIDAK BOLEH MELUPAKANNYA

Yakinlah bahawa anda tidak boleh terlepas daripada pornografi. Tidak kira setiap kali anda melayari internet atau di kedai video mahupun ketika menonton televisyen, kita tidak akan pernah boleh berkata TIDAK kepada diri kita. Anda tidak boleh tidak melayari web lucah atau menontonnya. Anda sudah tidak dapat mengawal hidup anda.

LANGKAH KEDUA: MENGAKULAH BAHAWA HANYA ALLAH YANG DAPAT MENYELAMATKAN ANDA


Tahukah anda, setelah segala usaha dibuat dan masih juga gagal, hanya Allahlah harapan terakhir kita. Anda mungkin sudah tahu mengetahuinya, tetapi sekarang anda yakin terhadapNya.

LANGKAH KETIGA: HIDUP DAN MATI ANDA DI TANGAN ALLAH

Serahkan segalanya kepada Allah, Tuhan yang mengawal setiap aspek hidup kita dan masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan bantuan-Nya.

LANGKAH KEEMPAT: BUAT ANALISIS KENDIRI

Buat analisis kendiri dengan jujur mengenai kelebihan, kekurangan, tahap ketagihan dan bagaimana anda boleh sampai ke tahap ketagihan ini.

LANGKAH KELIMA: POHON TAUBAT KEPADA ALLAH SECARA SPESIFIK

Buatlah pengakuan kepada Allah, diri sendiri dan kapada orang yang dipercayai (kalau boleh) di manakah silap anda. Jangan pohon taubat secara umum. Senaraikan kesalahan anda, termasuk ketagihan bahan lucah.

LANGKAH KEENAM: BERSIKAP TERBUKA DAN BERSEDIA MENERIMA PERTOLONGAN ALLAH UNTUK BERUBAH

Anda tahu taubat yang ikhlas perlu disusuli dengan tindakan. Bersedialah untuk berubah, tidak kira bagaimana payah dan peritnya sekalipun terpaksa tidak menonton televisyen ataupun tidak melayari internet secara bersendirian.

LANGKAH KETUJUH: POHON DIAMPUNKAN DAN DIJAUHKAN DARIPADA DOSA

Mintalah setulus hati daripada Allah, dengan penuh rasa kehinaan dan penyesalan yang anda tidak akan mengulangi lagi kesalahan melihat bahan lucah serta dijauhkan daripadanya.

LANGKAH KELAPAN: LAKUKAN PENAKSIRAN SENDIRI PADA WAKTU MALAM

Lakukan evaluasi sendiri secara jujur mengenai tingkah laku anda setiap malam dan bersedia mengaku kesalahan anda serta tidak lupa bersyukur kepada Allah kerana anda telah memulakan langkah baru.

LANGKAH KESEMBILAN: BERDOA DAN TINGKATKAN TAKWA

Beristiqamah dengan solat lima waktu agar didekatkan kepada Allah. Merasa keberadaan-Nya walau di mana anda berada. Tingkatkan kebergantungan kepada Allah di dalam mengatasi masalah ketagihan ini.

LANGKAH KESEPULUH: NASIHAT DAN AMALKAN


Jangan terus "berlalu" setelah Allah melepaskan anda daripada kemelut ketagihan ini. Bantulah mereka yang menghadapi masalah serupa melalui pertemuan yang kerap dan nasihat ikhlas di dalam menyeru kebaikan dan melarang kejahatan. Usaha anda membantu orang lain akan membantu anda mengekang masalah ketagihan ini 


Oleh SHEIKH AHMAD BIN HAMAD AL-KHALILI
Sumber: IslamOnline.net – 29 Disember 2004
Terjemahan: ABD RAZAK MAKSUD 

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment