Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Sunday, January 1, 2012


Gadis comel itu kian membesar. Seperti bunga yang kian berkembang,dia menjadi permata Bani Hasyim dan disayangi semua. Dialah Zainab, puteri sulung Rasulullah SAW yang tercinta. Antara ramainya pemuda Quraisy yang menaruh harapan pada gadis ini, ternyata hanya seorang yang bertuah iaitu Abi Al-Ash bin Rabi. Pemuda gagah ini memang menaruh hati pada Zainab. Hatinya sudah tertawan pada kelembutan Zainab dan dengan jujur, dia menyampaikan hasrat itu kepada Rasulullah SAW. Baginda yang bijaksana sebenarnya sudah tahu rahsia hati puterinya Zainab dan Abi Al-Ash.

Lantas Rasulullah menerima pinangan itu dan perkahwinan mereka pun berlangsung. Sesuai benar pasangan itu. Zainab yang mewarisi kemuliaan sikap ibunya Khadijah dan Abi Al-Ash, pemuda yang amat rendah diri,amanah dan jujur dalam perdagangan.

Mereka hidup aman bahagia dan dikurniakan sepasang cahayamata, Ali bin Abi Al-Ash dan Umamah. Sehinggalah saat wahyu diturunkan dan ayahandanya dilantik sebagai Rasul. Perkhabaran itu kurang disenangi oleh Abi Al-Ash. Masakan tidak, hati Abi-Al-Ash masih lekat kuat pada pegangan agama nenek moyang mereka.

Sehinggalah saat penghijrahan Rasullullah dan kaum muslimin lain ke Madinah, Zainab masih lagi tinggal bersama suaminya. Kerinduan kepada ahli keluarga yang jauh terpaksa ditahan demi ketaatan kepada suami.

Pengikut Islam di Madinah semakin ramai dan mereka sudah siap untuk menentang kaum Quraisy di Mekah. Pertempuran pun berlaku dan kemenangan berpihak kepada Islam. Ramai tentera Quraisy ditawan tetapi dilayan dengan baik oleh pihak Islam. Abi Al-Ash diasingkan daripada tawanan lain dan ditempatkan bersama mertuanya.

Tidak tertahan menanggung perpisahan, Zainab mengutuskan Amru bin Rabi untuk menebus semula suaminya. Dikirimkan ‘harta pusaka’ sebagai galang ganti buat suaminya nanti. Rasulullah menerima barang tebusan Zainab dengan hati yang hiba. Rupa-rupanya Zainab mengirimkan kalung hadiah perkahwinan daripada Siti Khadijah. Naluri baginda sebagai bapa cukup tersentuh. Lantas dibebaskan Abi Al-Ash bersama pesanan agar Zainab dikembalikan kepada baginda. Hukum Islam sudah tercatat, suami isteri yang berlainan agama tidak boleh lagi tinggal bersama.

Kepulangan Abi Al-Ash disambut dengan gembira oleh Zainab. Meski akidahnya untuk Islam tetapi rasa cinta dan setianya tetap utuh buat suami. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar suaminya menerima hidayah Allah.

Namun, Abi Al-Ash masih seperti dulu. Malah, kali ini mereka terpaksa pula berpisah kerana berlainan akidah.

“Kedatanganku ini adalah untuk berpisah denganmu, Zainab.” Zainab seperti tidak percaya dengan kata-kata suaminya itu. Abi Al-Ash’ telah menyambung lagi kata-katanya: “Bukan aku yang akan meninggalkanmu tapi engkau yang akan meninggalkanku.”

Tidak lama kemudian, datanglah utusan untuk membawa Zainab ke Madinah. Saat itu, terpisahlah dua jiwa yang masih saling menyinta. Apakan daya, Abi Al-Ash perlu menunaikan janji kepada Rasulullah. Isterinya dilepaskan pergi ketika Zainab mengandung empat bulan. Tangisan keduanya bukan lagi penawar tetapi ibarat racun yang memakan diri. Mereka terpisah kerana hukum agama yang telah ditetapkan Allah. Zainab redha walaupun tidak putus-putus mengalirkan air mata.

Kerana kesedihan yang mengganggu jiwa, Zainab dikatakan terjatuh dari unta ketika dalam perjalanan. Gugurlah kandungannya ketika itu. Setelah melalui pelbagai dugaan, akhirnya Zainab selamat tiba di Madinah. Kembalinya puteri Rasulullah dan hiduplah Zainab di bawah perlindungan ayahandanya.

Enam tahun sudah berlalu, namun penantian seorang isteri tidak pernah berakhir. Harapannya, satu hari nanti, Abi Al-Ash akan kembali padanya sebagai seorang Islam. Sehinggalah satu peristiwa di mana Abi Al-Ash datang meminta perlindungan kepada Zainab ketika dikepung pihak Muslimin.

Melihat wajah suaminya yang sekian lama terpisah, hati Zainab terasa luluh. Tetapi dalam masa yang sama, dia sedar dan terus menjerit kepada orang luar bahawa Abi Al-Ash berada dalam perlindungannya. Rasulullah yang mendapat tahu hal itu terus datang ke rumah Zainab.

Dengan bijaksana, baginda mengarahkan pihak muslimin mengembalikan semula harta dagangan Abi Al-Ash yang dirampas dan menyuruh Abi Al-Ash kembali kepada kaumnya. Keikhlasan dan kejujuran pihak muslimin nyata dapat melebur hati Abi Al-Ash yang keras. Perlahan-lahan hatinya terbuka untuk menerima Islam. Apatah lagi apabila melihat Zainab yang begitu setia dan sedia melindungi dirinya walau mereka berlainan agama.

Setelah menyelesaikan urusannya di Mekah, Abi Al-Ash kembali ke Madinah dan bertemu Rasulullah. Di depan nabi dan mertuanya, Abi Al-Ash mengucapkan kalimah syahadah. Setelah itu, Abi Al-Ash disatukan semula dengan Zainab. Bertemulah kembali keduanya dengan kerinduan dan rasa cinta yang tidak pernah terpadam. Malahan kali ini, kehidupan mereka lebih bahagia disulami keimanan dan rahmat Allah SWT bersama sinar Islam yang semakin gemilang di Madinah.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment