Di Perancis sekitar 50 tahun yang lalu, ada seorang berbangsa Turki berusia 50 tahun bernama Ibrahim yang bekerja sebagai penjual makanan di sebuah kedai. Kedai tersebut terletak di sebuah pangsapuri di mana salah satu penghuninya adalah keluarga Yahudi yang mempunyai seorang anak bernama Jad, berumur 7 tahun.
Jad, si anak Yahudi Hampir setiap hari mendatangi kedai tempat di mana Ibrahim bekerja. Setiap kali hendak keluar dari kedai, Jad sering mengambil sepotong coklat milik Ibrahim tanpa izinnya.
Pada suatu hari selepas belanja, Jad terlupa dan tidak mengambil coklat ketika hendak keluar, dan tiba-tiba Ibrahim memanggilnya dan memberitahu bahawa ia terlupa mengambil sepotong coklat sebagaimana kebiasaannya.
Jad terkejut, kerana ia mengira bahawa Ibrahim tidak mengetahui apa yang ia lakukan selama ini. Ia pun segera meminta maaf dan takut jika saja Ibrahim melaporkan perbuatannya tersebut kepada orang tuanya.
“Tidak mengapa, yang penting kamu berjanji untuk tidak mengambil sesuatu tanpa izin, dan setiap kali kamu mahu keluar dari sini, ambillah sepotong coklat, itu adalah milikmu,” ujar Ibrahim.
Waktu berlalu, tahun pun berganti dan Ibrahim yang seorang Muslim kini menjadi layaknya seorang ayah dan teman akrab bagi Jad si anak Yahudi.
Sudah menjadi kebiasaan Jad setiap kali menghadapi masalah, ia selalu datang kepada Ibrahim. Dan setiap kali Jad selesai bercerita, Ibrahim selalu mengambil sebuah buku dari laci, memberikannya kepada Jad dan kemudian menyuruhnya untuk membukanya secara rawak.
Setelah Jad membukanya, kemudian Ibrahim membaca dua helai darinya, menutupnya dan mula memberikan nasihat dan penyelesaian kepada masalah Jad.
Beberapa tahun pun berlalu dan begitulah hari-hari yang dilalui Jad bersama Ibrahim.
14 Tahun berlalu
Jad kini telah menjadi seorang pemuda gagah dan berumur 24 tahun, sedangkan Ibrahim ketika itu berumur 67 tahun.
Alkisah, Ibrahim akhirnya meninggal, namun sebelum wafat ia telah menyimpan sebuah kotak yang dititipkan kepada anak-anaknya di mana di dalam kotak tersebut ia letakkan sebuah buku yang selalu ia baca setiap kali Jad berunding kepadanya.
Ibrahim berwasiat agar anak-anaknya nanti memberikan buku tersebut sebagai hadiah untuk Jad, seorang pemuda Yahudi.
Jad baru mengetahui wafatnya Ibrahim ketika puteranya menyampaikan wasiat untuk memberikan sebuah kotak. Jad pun merasa terkejut dan sangat sedih dengan berita tersebut, kerana Ibrahim yang selama ini memberikan penyelesaian dari semua permasalahannya, dan Ibrahim satu-satunya teman sejati baginya.
Hari-hari pun berlalu, setiap kali dirundung masalah, Jad selalu teringat Ibrahim. Kini ia hanya meninggalkan sebuah kotak. Kotak yang selalu ia buka, di dalamnya tersimpan sebuah buku yang dulu selalu dibaca Ibrahim setiap kali ia mendatanginya.
Jad lalu cuba membuka lembaran-lembaran buku itu, akan tetapi kitab itu mengandungi tulisan berbahasa Arab sedangkan ia tidak boleh membacanya. Kemudian ia pergi ke salah seorang temannya yang berbangsa Tunisia dan memintanya untuk membacakan dua helai dari kitab tersebut. Persis sebagaimana kebiasaan Ibrahim dahulu yang selalu memintanya membuka lembaran kitab itu dengan rawak saat ia datang berunding.
Teman Tunisia tersebut kemudian membacakan dan menerangkan makna dari dua helai yang telah ia tunjukkan. Dan ternyata, apa yang dibaca oleh temannya itu, mengena persis ke dalam permasalahan yang dialami Jad kala itu. Lalu Jad bercerita mengenai permasalahan yang sedang menimpanya. Lantas teman Tunisianya itu memberikan penyelesaian kepadanya sesuai apa yang ia baca dari kitab tersebut.
Jad pun menjadi kagum. Kemudian dengan penuh rasa ingin tahu ini bertanya, “Buku apa ini?”
Ia menjawab, “Ini adalah Al-Quran, kitab suci bagi umat Islam!”
Jad seakan tidak percaya, sekaligus merasa takjub. Lalu ia kembali bertanya, “Bagaimana caranya menjadi seorang Muslim?”
Temannya menjawab, “Mengucap syahadah dan mengikut syariat!”
Setelah itu, dan tanpa ada rasa ragu-ragu, Jad lalu mengucapkan syahadah, ia telah kembali kepada Islam.
Islamkan 6 juta orang
Kini Jad sudah menjadi seorang Muslim, kemudian ia menukar namanya menjadi Jadullah Al-Qur’ani sebagai rasa takzim atas kitab Al-Quran yang begitu istimewa dan mampu menjawab seluruh masalah hidupnya selama ini. Dan sejak itulah ia memutuskan akan menghabiskan sisa hidupnya untuk berkhidmat menyebarkan ajaran Al-Quran.
Mulanya Jadullah mempelajari Al-Quran serta memahami isi kandungannya, dan seterusnya beliau berdakwah di Eropah hingga berjaya mengislamkan 6,000 Yahudi dan Nasrani.
Suatu hari, Jadullah membuka lembaran-lembaran Al-Quran hadiah dari Ibrahim itu. Tiba-tiba ia mendapati sebuah lembaran bergambarkan peta dunia.
Pada saat matanya tertuju pada gambar benua Afrika, nampak di atasnya tertera tanda tangan Ibrahim dan di bawah tanda tangan itu tertuliskan ayat:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik!!” [QS. An-Nahl ayat 125]
Ia pun yakin bahawa ini adalah wasiat dari Ibrahim dan ia memutuskan untuk melaksanakannya.
Beberapa waktu kemudian, Jadullah meninggalkan Eropah dan pergi berdakwah ke negara-negara Afrika, antaranya adalah Kenya, selatan Sudan (yang majoriti penduduknya adalah Nasrani), Uganda serta negara-negara sekitarnya.
Jadullah berjaya mengislamkan lebih dari 6 juta orang dari puak Zulu. Ini baru satu suku kaum, belum dengan suku-suku kaum yang lain.
Akhir Hayat Jadullah
Jadullah Al-Qur’ani, seorang Muslim sejati, pendakwah hakiki, menghabiskan umur 30 tahun sejak keislamannya untuk berdakwah di negara-negara Afrika yang gersang dan berjaya mengislamkan jutaan orang.
Jadullah meninggal dunia pada tahun 2003 yang sebelumnya sakit. Kala itu beliau berusia 54 tahun, beliau meninggal dunia ketika masa-masa berdakwah.
Kisah yang tak selesai
Ibu Jadullah Al-Qur’ani adalah seorang wanita Yahudi yang fanatik, ia adalah wanita berpendidikan dan pensyarah di salah satu institusi perguruan tinggi. Ibunya baru memeluk Islam pada tahun 2005, dua tahun sepeninggalan Jadullah iaitu saat berumur 70 tahun.
Sang ibu bercerita bahawa (ketika puteranya masih hidup) ia menghabiskan masa selama 30 tahun berusaha sekuat tenaga untuk mengembalikan anaknya agar kembali menjadi Yahudi dengan pelbagai macam cara, dengan segenap pengalaman, kelebihan ilmu dan kemampuannya, akan tetapi ia tidak dapat mempengaruhi anaknya untuk kembali menjadi Yahudi.
Sedangkan Ibrahim, seorang Muslim tua yang tidak berpendidikan tinggi, mampu melunakkan hatinya untuk memeluk Islam, hal ini tidak lain kerana Islamlah satu-satunya agama yang benar.
Yang menjadi pertanyaannya, “Mengapa Jad si anak Yahudi memeluk Islam?”
Jadullah Al-Qur’ani bercerita bahawa Ibrahim yang dia kenal selama 17 tahun tidak pernah memanggilnya dengan kata-kata: “Hai orang kafir!” atau “Hai Yahudi!” dan Ibrahim tidak pernah mengucapkan, “Masuklah agama Islam!”
Bayangkan, selama 17 tahun Ibrahim tidak pernah sekalipun mengajarnya tentang agama, tentang Islam atau pun tentang Yahudi. Seorang tua Muslim yang sederhana itu tak pernah mengajaknya berbincang masalah agama. Akan tetapi ia tahu bagaimana menuntun hati seorang anak kecil agar terikat dengan akhlak Al-Quran.
Kemudian dari kesaksian Dr Shafwat Hijazi (salah seorang pendakwah terkenal di Mesir) yang suatu saat pernah mengikuti sebuah seminar di London dalam membahas permasalahan Darfur serta penyelesaian pengendalian dari ajaran Kristian, beliau berjumpa dengan salah satu pimpinan suku Zulu.
Apabila ditanya apakah ia memeluk Islam melalui Jadullah Al-Qur’ani?, Ia menjawab, tidak! namun ia memeluk Islam melalui orang yang diislamkan oleh Jadullah Al-Qur’ani.
Subhanallah, akan ada berapa banyak lagi orang yang akan masuk Islam melalui orang-orang yang diislamkan oleh Jadullah Al-Qur’ani. Dan Jadullah Al-Qur’ani sendiri memeluk Islam melalui tangan seorang muslim tua berbangsa Turki yang tidak berpendidikan tinggi, namun mempunyai akhlak yang jauh dan jauh lebih luhur dan suci.
Begitulah kisah tentang Jadullah Al-Qur’ani, kisah ini merupakan kisah nyata yang diterjemahkan dari catatan Almarhum Syeikh Imad Iffat yang digelar sebagai “Syeikh golongan Revolusioner Mesir.” Beliau adalah seorang ulama Al-Azhar dan anggota Lembaga Fatwa Mesir yang ditembak syahid dalam sebuah insiden di Kaherah pada hari Jumaat, 16 Disember 2011 lalu.
Kisah nyata ini layak untuk kita renungi bersama di masa-masa penuh fitnah seperti ini. Di saat ramai orang yang sudah tidak mengindahkan lagi cara dakwah Qurani. Mudah mengkafirkan, fasih mencaci, mendakwa sesat, menyatakan bidah, melaknat, memfitnah, padahal mereka adalah sesama muslim.
Suatu ketika dulu pendakwah kita telah berjuang mati-matian menyebarkan Tauhid dan mengislamkan orang-orang kafir, namun kenapa sekarang orang yang sudah Islam, dikafir-kafirkan dan dituduh syirik? Bukankah kita hanya diwajibkan menghukumi sesuatu dari yang tampak saja? Sedangkan masalah batin biarlah Allah yang menghukuminya nanti. Kita sama sekali tidak diperintahkan untuk membelah dada setiap manusia agar mengetahui kadar iman yang dimiliki setiap orang.
Mari kita renungi kembali surat Thaha ayat 44 iaitu Perintah Allah Subahanhu Wa Ta’ala kepada Nabi Musa dan Harun, ketika mereka akan pergi mendakwahi Firaun.
Allah berfirman:
“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”
Bayangkan, Firaun yang jelas-jelas kafir laknatullah, namun ketika berdakwah dengan orang seperti ia pun, harus tetap dengan kata-kata yang lemah lembut, tanpa menyebut dia Kafir Laknatullah!
Lalu apakah kita yang hidup di dunia sekarang ini ada yang lebih Islam dari Nabi Musa dan Nabi Harun? Atau adakah orang yang saat ini lebih kafir dari Firaun, di mana Al-Quran pun merakam kekafirannya hingga kini?
Maka alasan apa bagi kita untuk tidak menggunakan dakwah dengan kaedah Al-Quran? Iaitu dengan hikmah, nasihat yang baik, dan perbincangan menggunakan hujjah yang kuat namun tetap sopan dan santun?
Wajar dalam dakwah yang perlu kita perhatikan adalah bagaimana cara kita agar mudah menyampaikan kebenaran Islam ini.
Oleh itu, jika sekarang kita dapati ada orang yang kafir, boleh jadi di akhir hayatnya Allah akan memberi hidayah kepadanya sehingga ia kembali kepada Islam.
Bukankah Umar Al-Khattab RA dulu juga pernah memusuhi Rasulullah SAW? Namun Allah berkehendak lain, sehingga Umar pun mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam.
Lalu jika sekarang ada orang Muslim, boleh jadi di akhir hayatnya Allah mencabut hidayah darinya sehingga ia mati dalam keadaan kafir. Na’udzubillah tsumma Na’udzubillahi min dzalik.
Kerana sesungguhnya dosa pertama yang dilakukan Iblis adalah sombong dan angkuh serta merasa diri sendiri yang paling suci sehingga tak mahu menerima kebenaran Allah dengan sujud hormat kepada Nabi Adam AS.
Oleh kerana itu, boleh jadi Allah mencabut hidayah daripada seorang Muslim yang tinggi hati, lalu memberikannya kepada seorang kafir yang rendah hati. Segalanya tiada yang mustahil bagi Allah.
Marilah kita pertahankan akidah Islam yang telah kita peluk ini, dan jangan pernah mencicip ataupun memamah akidah orang lain yang juga telah memeluk Islam serta bertauhid.
Kita adalah saudara seislam seagama. Saling mengingatkan adalah baik, saling melindungi akidah sesama Muslim adalah baik. Marilah kita sentiasa berjuang bahu-membahu demi perkara yang baik-baik saja.
Sumber : arrahmah.com