FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami (Allah) berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israk ayat 1).
Menurut ulama, sebelum terjadi peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW terlebih dulu mengalami pembedahan dada dan perut yang dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mikail AS. Hati Baginda SAW dicuci bersih dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (alaqah), iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu dadanya dijahit dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah’. Selesai pembedahan, didatangkan haiwan dari syurga bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Israk itu.
Daripada peristiwa ‘pembedahan’ dada dan perut Nabi SAW itu, maka wujudlah ilmu pembedahan sekarang yang dilakukan kaji selidik oleh ilmuwan sains dan teknologi kedoktoran masa lampau.
Israk yang bererti perjalanan malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sepanjang perjalanan itu Rasulullah diiringi dan ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil. Kemudian mereka singgah di tempat tertentu yang mulia dan berkat. Rasulullah berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.
Lokasi itu ialah Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. Bukit Tursina (Mesir), iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah, dan Baitullaham (Palestin), tempat Nabi Isa AS dilahirkan.
Dalam perjalanan itu Baginda menghadapi gangguan Jin Ifrit dan dapat menyaksikan pelbagai peristiwa yang sangat ajaib, antaranya kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, yang melambangkan kaum yang berjihad ‘fisabilillah,’ tempat yang berbau harum, iaitu kubur Mashitah, tukang sisir rambut anak Firaun bersama suaminya dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah.
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh semula, kemudian dipecahkan lagi, demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: “Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud bersembahyang.”
Kemudian sekumpulan orang yang hanya menutup aurat kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti haiwan ternakan. Mereka makan bara api dan batu batan dari neraka Jahanam. Jibril berkata: “Itulah orang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
Sekumpulan orang lelaki dan perempuan memakan daging busuk, daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: “Itulah lelaki dan perempuan melakukan zina, sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing ada isteri dan suami.”
Sekumpulan lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: “Itulah orang yang memakan riba. Sekumpulan lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: “Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih ingin menerima amanah yang lain.” Banyak lagi peristiwa berlaku sepanjang perjalanan Nabi itu.
Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Kata Jibril: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: “Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.”
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril: “Itulah gambaran dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
Seorang perempuan tua yang bongkok menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
Setelah sampai di Masjidil Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq, kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbiya dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah berasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bekas berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu.
Kata Jibril: “Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat Baginda akan menjadi sesat.”
Ketika Mikraj, iaitu Rasulullah naik ke Hadhratul Qudus menemui Allah SWT. Di langit pertama, Rasulullah berjumpa dengan Nabi Adam AS. Langit kedua, Nabi SAW bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya AS. Langit ketiga, Nabi bertemu dengan Nabi Yusuf. Langit keempat, Nabi bertemu dengan Nabi Idris, langit kelima, Nabi bertemu dengan Nabi Harun, langit keeenam, Nabi bertemu dengan nabi-nabi dan seterusnya Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala yang diperintah oleh Jibril, lalu dapat melihat umat Baginda yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Langit ketujuh, Nabi bertemu dengan Nabi Ibrahim yang sedang bersandar di Baitul Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda: “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘La haula wala quwaata illa billah.’
Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Makkah).
Ada riwayat menyatakan, setakat ini saja Jibril menghantarkan Nabi SAW untuk menemui Allah SWT.
Tangga (mikraj) kelapan, di sini disebut 'al-Kursi', berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Di sini Rasulullah melihat pelbagai keindahan seperti sungai Kauthar yang mengalir terus ke syurga dan lain-lainnya.
Tangga kesembilan, Rasulullah masuk di dalam Nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam, di sini dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berziikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Tangga ke-10, Rasulullah SAW sampai di Hadhratul Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab dan bersujud ke hadrat Allah Taala dan terjadilah beberapa dialog dengan Allah SWT. Akhirnya Allah memfardukan sembahyang lima kali sehari semalam, yang pada mulanya difardukan sebanyak 50 kali.
Oleh Ibrahim Abdullah
Sumber : www.bharian.com.my