Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Saturday, November 3, 2012


Apakah umat Islam hari ini khususnya di kalangan wanita, mereka boleh dianggap sebagai umat jahiliah yang tidak dapat menyempurnakan suruhan dan larangan Allah? Antara larangan yang berkenaan ialah hadis yang bermaksud Allah telah melaknat kaum wanita yang keluar rumah kediamannya tanpa ditemani oleh lelaki muhrimnya.

Tetapi umat Islam hari ini telah mengizinkan wanita mereka keluar bebas ke sekolah, ke pusat-pusat pengajian tinggi, ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan lain-lain kerana menuntut ilmu dan menjalankan tugas dan menyempurnakan kerja menurut keperluan masing-masing.

Bahkan ramai di kalangan mereka telah berani musafir keluar negara secara berseorangan sehingga ke negara-negara bukan Islam sekalipun tanpa muhrim. Hal ini bercanggah dan bertentangan dengan hadis sahih di atas dan sudah tentu dimurkai Allah.

Dakwaan seumpama ini dibuat oleh mereka yang tidak dapat memahami roh syariah Islam dan tidak mengerti tentang tujuan syarak (maqasid syariah), lalu mereka pun mengambil hukum daripadanya secara mendatar dan mudah menyebabkan umat Islam dalam keadaan yang tidak berkemampuan untuk mengikuti dan melaksanakannya.

Sungguh banyak hadis seumpama ini khususnya yang berhubung dengan soal-soal politik, ekonomi dan bidang-bidang sosial. Bahkan ayat-ayat al-Quran juga banyak yang sedemikian, iaitu jika dilihat dari segi terjemahannya secara zahir memang ia berbentuk larangan. Ramai juga kalangan ulama yang memahami dan mentafsirkannya menurut kehendak larangan itu, tetapi ia bercanggah dengan roh syariah dan bertentangan dengan tujuan syarak.

Itulah sebabnya sehingga hari ini soal perhubungan dan percampuran antara lelaki dengan perempuan, hukum-hukum berhubung dengan hiburan, muzik, pakaian dan penutupan aurat, hal-hal berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud, perkara-perkara yang bersangkutan dengan pentadbiran politik dan ekonomi semasa dan sebagainya tidak mendapat kata sepakat di kalangan ulama.

Berlakunya demikian adalah kerana di kalangan ulama tidak bersedia dan tidak cerdas untuk menyesuaikan antara nas dengan tuntutan semasa, tidak mampu menggunakan akal bagi menilai perubahan yang ada dan tidak berani melepaskan diri daripada apa yang diijtihadkan oleh ulama silam.

Sebagai contoh isu pakaian dan aurat wanita hari ini yang sedang hangat diperbincangkan, kerana ada suara-suara yang mempersoalkan pakaian isteri-isteri dan anak gadis ulama kita sebelum ini, termasuk isteri-isteri dan anak-anak gadis para penjawat tertinggi agama. Mereka dikatakan tidak bertudung dan tidak berjubah. Mereka pun dianggap jahil dan berada dalam zaman jahiliah.

Kata-kata seumpama ini amat tidak munasabah dan bersifat keterlaluan, kerana bapa atau suami mereka adalah para mufti, kadi, tok guru, ustaz-ustaz dan kiai. Apakah mereka ini penentang hukum atau mengambil sikap tidak acuh dan tidak bina terhadap hukum Allah?

Ketika Pas mula memenangi pilihan raya umum 1990 dan berjaya menguasai pentadbiran negeri Kelantan, terus saja diharamkannya qariah wanita daripada menyertai musabaqah tilawah al-Quran dengan hujah suara wanita adalah aurat. Kemudian difatwakan bahawa wanita tidak boleh bekerja malam dan wanita-wanita yang bekerja di kompleks-kompleks beli-belah diwajibkan tutup rambut di kepala dan sebagainya.

Tidaklah diketahui sama ada fatwa seumpama ini merupakan fatwa sebenar atau fatwa politik. Tetapi ulama silam, termasuk sahabat-sahabat sendiri, amat menyedari bahawa setiap hukum itu mempunyai hikmah, roh dan tujuannya. Ketika mengeluarkan sesuatu hukum mereka amat teliti dan berhati-hati dengan mengambil kira keadaan persekitaran. Mereka mengkaji maksud dan tujuan yang tersirat di sebalik larangan dan suruhan yang berkenaan.

Bagi maksud tersebut lahirlah kaedah tertentu. Antara lainnya, setiap hukum itu mesti diasaskan kepada illah dan sebab musabab. Ertinya setiap hukum hanya berkuat kuasa setelah ada illah dan sebab- musababnya, iaitu ada mudarat dan manfaatnya, ada keburukan dan kebaikannya.

Ulama fikah telah membuat kajian bahawa hadis yang melarang kaum wanita keluar daripada rumah kediamannya adalah berfaktorkan kepada kekhuatiran berlakunya fitnah. Seandainya fitnah sudah tidak ada lagi dan keselamatan pula sudah terjamin maka hukum yang berkenaan sudah tidak berkuat kuasa lagi.

Kaedah lain yang menjadi pegangan ulama fikah ketika mengeluarkan fatwa yang merujuk kepada kehidupan keduniaan ini ialah hukum itu berubah menurut perubahan masa dan tempat. Kaedah ini menjadi asas pertimbangan dalam menentukan sesuatu hukum kerana al-Quran sendiri memberi pengiktirafan tentang wujudnya bangsa-bangsa di dunia ini yang membawa erti wujudnya budaya dan adat resam bangsa-bangsa yang berbeza.

Kerana itulah adat resam bagi sesuatu kaum yang diistilahkan sebagai uruf juga menjadi punca hukum Islam. Disebabkan uruf itu berbeza antara satu kaum dan tempat dengan kaum dan tempat yang lain maka ulama fikah berselisih pendapat dalam menentukan hukum tertentu, bahkan ada antara ulama yang mempunyai dua pendapat bagi satu perkara apabila dia berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain yang berbeza keadaan persekitaran dan masa.

Dalam negara yang aman damai ini apakah seorang wanita yang keluar sendirian dari rumah kediamannya kerana tujuan-tujuan baik, seperti bagi maksud ke sekolah atau ke pasar atau ke pejabat atau sebagainya ditegah oleh syarak?

Apakah seorang lelaki Melayu yang normal sifatnya apabila melihat rambut wanita maka akan berlaku rangsangan luar biasa dalam dirinya. Hal seumpama ini menjadi pertimbangan ahli fikah dalam menentukan sempadan aurat wanita. Mereka tidak sependapat dalam mentafsirkan maksud wajib tutup melainkan anggota yang zahir. Ada yang berpendapat bahawa anggota zahir itu ialah hujung anggota (atraful-Ajsam), iaitu kaki, tangan dan kepala.

Imam Syafie sendiri yang dianggap amat berhati-hati dengan hukum yang berpendapat bahawa sentuhan lelaki dengan wanita yang telah putus haid tidak membatalkan wuduk. Tetapi sekiranya beliau masih hidup rasanya tentu saja beliau akan melihat semula fatwa tadi, kerana kemajuan ilmu perubatan sekarang ini telah menghasilkan pil-pil tertentu yang dapat mengubah sikap dan perasaan wanita.

Ulama fikah memberi perhatian khusus dalam usaha merealisasikan syariat Islam dalam menghadapi perbezaan tempat dan waktu, kerana perbezaan itu wujud dan nas al-Quran dan hadis yang merujuk kepada kehidupan keduniaan ini ijtihadi sifatnya.

Sebagai contoh dapat dilihat bagaimana aliran fikah mazhab Hanafi yang tumbuh di Iraq tidak sama dengan mazhab Maliki yang lahir di Madinah, kerana adat dan budaya penduduk di kedua tempat yang berkenaan tidak serupa. Penduduk Iraq akibat daripada kesan pemerintahan empayar Parsi dan percampuran antara Arab dengan Ajam maka wujudlah kelas dan darjat dalam kehidupan mereka. Maka fikah mazhab Hanafi telah menentukan syarat perkahwinan itu mesti ada kufu, iaitu persamaan taraf dan status.

Tidak demikian bagi mazhab Maliki di Madinah yang masyarakatnya lebih tertutup. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah tentang persamaan dalam Islam masih sangat menebal bagi mereka dan gaya hidup berkelas dan berdarjat tidak wujud sebagaimana di Iraq. Oleh itu persoalan kufu tidak timbul dalam fikah mazhab Maliki.

Imam Hanafi menentukan syarat yang berkenaan adalah berasaskan kepada maqasid syariah iaitu bagi memastikan bahawa setiap perkahwinan itu berkekalan dan kehidupan rumah tangga terus-menerus dalam keadaan baik dan harmoni. Untuk mencapai maksud yang berkenaan bagi masyarakat Iraq yang sebegitu rupa, maka perkahwinan itu perlulah ditegakkan di atas persamaan taraf dan status antara suami dan isteri, kerana itulah yang dikatakan maslahahnya.

Andai kata peraturan dan hukum yang berhubung dengan kehidupan keduniaan ini tidak selaras dengan keadaan lingkungan yang berbeza dan tidak sesuai dengan maslahah dan keperluan hidup semasa sudah tentu peraturan yang berkenaan menjadi asing daripada manusia.

Kemaslahatan manusia itu melingkupi keselamatan diri, agama, harta, keturunan dan maruah. Dasar mengeluarkan hukum dalam perkara-perkara kehidupan keduniaan ini adalah menurut apa yang diperintahkan oleh Allah apabila tidak jelas illah hukumnya. Tetapi apabila hukum itu mempunyai illah yang jelas dan pasti maka illah itu hendaklah diberi perhitungan dengan erti hukum itu hanya berkuatkuasa selama ada illah. Tetapi apabila illah sudah tidak ada maka hukum itu juga tidak berkuat kuasa lagi.


Dalam al-Quran sendiri ada ayat-ayat yang telah dimansuhkan atau dibatalkan. Berlakunya demikian bukanlah kerana Allah tadinya tidak tahu dan sekarang baru tahu. Fahaman yang sedemikian tidak benar sama sekali. Sebenarnya Allah mensyariatkan suatu hukum tertentu yang selaras dengan keadaan semasa dan ditangguhkan sesuatu hukum yang lain sehingga sampai waktunya. Lalu dibatalkannya hukum yang terdahulu. (al-Baqarah: 106)

Khalifah-khalifah di permulaan Islam telah berjaya mengatasi kesulitan-kesulitan yang mereka hadapi dengan cara menyesuaikan antara nas dengan tuntutan dan maslahah semasa. Saidina Umar adalah khalifah yang paling banyak melakukan penyesuaian itu kerana beliau menemui dalam masa pentadbirannya kejadian-kejadian yang belum pernah ditemui oleh Saidina Abu Bakar dan Nabi s.a.w sendiri.

Beliau berjaya membuktikan bahawa Islam itu benar dan sesuai pada setiap masa dan tempat, boleh mengatasi segala kesulitan dan rintangan pada setiap zaman.

Beliau memberi pertimbangan yang bijaksana kepada suasana dan lingkungan dalam mencipta peraturan dan undang-undang baru selaras dengan negara yang berkembang luas dan rakyat yang bertambah ramai pada zamannya.

DATO’ DUSUKI HJ AHMAD
ummatanwassatan.net
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment