Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Tuesday, November 20, 2012


..

Para Syahid adalah individu pilihan Allah swt dek kerana mereka telah memperagakan jiwa dan raga mereka untuk berjihad di jalan Allah swt. Jiwa mereka yang bersih diberi oleh Allah swt berupa ganjaran yang tiada tolok bandingnya. Mereka dijanjikan syurga dan diharamkan api neraka menyentuh jasad mereka. Mereka duduk sebaris dengan para Rasul, para Nabi, para Auliya dan para Solihin.

Bahkan, bukan itu sahaja. Mereka dikurniakan kelebihan yang mana ia menjadi pemangkin kepada yang masih hidup untuk turut sama berjuang untuk syahid di jalan Allah. Jasad mereka terjaga dan tidak terusik dek tanah, serangga mahupun ulat.

Malah, darah luka mereka mengalir sepertimana orang yang masih hidup. Tubuh mereka juga mengeluarkan bau semerbak kasturi. Itulah kurniaan Allah swt yang tidak pernah dapat dijelaskan dengan terperinci dan konkrit oleh hukum fizik dan sains.

Allah swt menjelaskan perkara ini kepada kita sepertimana yang telah termaktub di dalam kitab Al-Quran,
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya”.(Surah Al-Baqarah ayat 154)


Pereputan menurut Sains

Hukum sains menyatakan bahawa apabila seseorang meninggal dunia, kulit dan daging manusia akan terurai dalam jangka masa enam hingga setahun manakala tulang pula akan mengalami pereputan dalam jangka masa dua puluh sehingga lima puluh tahun. Walaubagaimanapun, jasad yang terurai bergantung kepada beberapa faktor semulajadi seperti kepanasan, pendedahan kepada cahaya, lokasi dan kelembapan.

Empat minit pertama kematian, pereputan sebenarnya telah pun bermula. Ia dikenali sebagai ‘pereputan kendiri’ atau self-decomposition. Ia didorong oleh penurunan oksigen dan peningkatan karbon dioksida di dalam tubuh secara mengejut yang akhirnya menyebabkan sel-sel tubuh mengalami ‘keracunan’.

Kemudian, enzim memulakan proses pereputan disebabkan oleh ketinggian peratusan asid di dalam tubuh. Lemak, protein dan juga gula terurai menjadi elemen yang ringkas. Walaubagaimanapun, pereputan ini tidak mampu dilihat daripada luaran pada peringkat awal kematian. Pereputan ini hanya bertumpu di organ limpa kerana kepadatan enzimnya dan otak kerana isipadu bendalirnya.

Proses ini berterusan sehingga jasad tersebut mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Bau ini hasil tindakbalas di dalam tubuh manusia yang merembeskan gas metana, karbon dioksida, hidrogen sulphat dan ammonia. Pada peringkat yang seterusnya, serangga mula menjalankan tugas. Haiwan-haiwan ini aktif membiakkan telur di liang-liang terbuka pada jasad manusia. Larva daripada telur kemudian mendapat makanan daripada jasad manusia yang telah mereput.

Setelah beberapa lama, jasad manusia mula mereput dengan lengkap dan akhirnya meninggalkan rangka dan tulang-tulang. Hari berganti hari, tahun berganti tahun, abad berganti abad, rangka dan tulang akhir mereput sehingga bersepadu dengan tanah dan debu. Daripada tanah kita dijadikan, dan kepada tanah jua la kita disemadikan.

Keajaiban Syahid: Ceritera Menakjubkan


Kita tahu bahawa banyak dokumen dan kitab menceritakan kisah benar berhubung dengan jasad para syahid yang tidak terusik dek tanah. Ia berkekalan sebagaimana demikian buat beberapa lama sehingga ada sesetengahnya mencecah ribuan tahun. Warna dan fizikal mereka tidak berubah dengan ketara, darah masih lagi mengalir, bau wangi dapat dihidu di mana-mana dan janggut mereka kekal tumbuh. Malahan, terdapat riwayat menyatakan bahawa jasad para syahid yang meninggal dunia di padang pasir tetapi kekal tidak dimamah tanah dan dilindungi daripada sebarang usikan binatang buas.

Allah swt memberi rahmat di atas penderitaan mereka mempertahan agama Allah semasa hayatnya- gambar hiasan


Para syahuda Uhud

Dr. Tariq Suwaidan dalam satu rancangan bersirinya, Story of the End telah menyatakan Sheikh Muhammad As-Sawwaf adalah salah seorang ulama yang dipilih untuk menguburkan kembali jasad syuhada Uhud. Menurut Sheikh Muhammad As-Sawwaf jasad para syuhada Uhud tidak terusik dek tanah dan ulat-ulat miskipun telah menjangkau usia 1,400 tahun. Sheikh Muhammad As-Sawwaf berkata,

“Dikalangan mereka jasad Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib ra. Beliau sangat besar dan hidung serta telinga dipotong. Perutnya telah terbuka dan beliau meletakkan tangannya di situ. Apabila kami alihkan tangannya, darah memancut keluar seperti beliau baru sahaja meninggal dunia sejam yang lalu.”

Dakwaan Sheikh Muhammad As-Sawwaf amat bertepatan dengan apa yang diceritakan dalam shahih Bukhari dan riwayat-riwayat para sahabat. Saidina Hamzah ra syahid setelah perutnya ditembusi oleh tombak Washyi daripada belakang tubuhnya. Setelah itu, tubuh dan jasadnya dirosakkan pula oleh Hindun yang berdendam di atas kematian bapanya semasa Perang Badar.

Makam syuhada Uhud.


Samir: Tubuhnya utuh miskipun setelah 15 tahun

Maher Katkout daripada Naples menceritakan,

“Kami sebagaimana yang lain selalu mendengar keajaiban para syuhada dan kami kadang-kadang terfikir bahawa ia mungkin banyak tokok-tambah. Namun, apa yang berlaku beberapa hari yang lalu membuatkan saya percaya sepenuhnya keajaiban ini. Apabila kami membuka sebuah kubur, kami menemui jasad Samir Shihada(Syuhada daripada Palestin) tetap utuh sepertimana kematiannya 15 tahun dahulu”

Amer, iaitu abang kepada Samir Shihada meneruskan,

“Apabila ibu saya meninggal, kami mahu mengebumikannya di liang lahad yang sama dengan Samir. Kami menanyakan perihal ini kepada ulama, dan mereka tidak membantahnya, terutamanya menyedari Samir telahpun meninggal dunia 15 tahun lampau, kemungkinan besar hanya tinggal hanyalah tulang belulang. Namun, alangkah terkejutnya kami apabila membuka kubur tersebut dan melihat Samir sepertimana hari beliau gugur syahid. Badannya, pakaiannya dan bendera Palestin yang membalutinya tetap utuh. Rambutnya masih bersikat dan basah kerana hari pengebumian turunnya hujan. Apabila kami mengalihkan jasadnya untuk mengebumikan ibu kami, jasadnya masih panas dan luka mula berdarah sepertimana beliau baru ditembak beberapa minit yang lalu.”

Kisah kanak-kanak Kristian

Ulama terkemuka, Al-Qurtubi pernah menulis dalam kitabnya,

“Terdapat juga kisah syuhada daripada bangsa-bangsa terdahulu yang meninggal dunia di jalan Allah untuk mempertahankan hak yang seiring sejalan dengan Rasulnya.”

Al-Qurtubi merujuk kisah ini kepada kisah Ashababul Ukhdud yang diceritakan Allah swt dalam surah Al-Buruuj. Kisah tersebut secara ringkasnya bermula apabila seorang kanak-kanak telah memeluk ajaran Kristian yang mengesakan Allah swt. Oleh yang demikian, pembesar-pembesar Najran amat murka sehingga memerintahkan kanak-kanak tersebut dibunuh. Kanak-kanak tersebut menunjukkan karamahnya dengan izin Allah swt sehingga menyakinkan ramai rakyat jelata yang menyaksikannya. Akibatnya, rakyat jelata tersebut turut menemui maut dengan dipaksa terjun hidup-hidup ke dalam parit yang dalam.

Menurut Imam Al Tirmizi, kanak-kanak lelaki yang dibunuh tersebut dikebumikan dan semasa era Khulafa Ar-Rashidin iaitu Umar al-Khattab, kubur kanak-kanak tersebut dibuka dan dijumpai jasadnya masih lagi elok. Menurut Imam Al Tirmizi lagi, kisah tersebut berlaku di antara kenabian Nabi Isa as dan Nabi Muhammad as.

Syuhada tentera Mesir Semasa Perang Arab-Israel 1948

Dr. Mahmoud An-Najjar adalah seorang doktor Mesir yang bertanggungjawab memindahkan jenazah para syuhada Perang Arab-Israel 1948. Perang tersebut berkait rapat dengan tragedi Nakbah 1948 di mana-mana beribu-ribu rakyat Palestin hilang tempat tinggal dan dibunuh dengan kejam.

Dr. Mahmoud An-Najjar dan abangnya terlibat untuk memindahkan jasad tentera Mesir pada tahun 1956. Beliau menyatakan bahawa beliau dengan mata kepalanya sendiri menyaksikan seramai 45 jasad para syuhuda tidak terusik badan dan pakaiannya miskipun telah 8 tahun dikebumikan.

Ramai pelarian Palestin menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis semasa tragedi Nakbah 1948.


Syuhada Jordan

Seorang Korperal, Hussein Muhammad Awadh Al-Momni daripada bandar Abeen, Jordan menemui maut semasa berjihad di Tobas, Palestin pada 1976. Selepas 10 tahun, jasadnya ditemui kekal utuh dan masyarakat di Tobas melarang saudara-maranya memindahkan jasadnya untuk dikebumikan di tanah tumpah darahnya. Mereka menganggap jasad Hussein Muhammad Awadh Al-Momni membawa berkat. Jasad Hussein Muhammad Awadh Al-Momni kekal di Tobas sehingga ke hari ini.

Syuhada Afghanistan

Salah seorang Mujahiddin yang dikenali dengan nama Said Shah terkenal dengan solat sunat malamnya. Mimpinya dikatakan sentiasa benar dan mempunyai bermacam karamah. Ditakdirkan Allah swt, beliau menemui ajal semasa berjihad di jalan Allah. Selepas dua tahun, jasad ditemui kekal utuh dan janggutnya kekal tumbuh memanjang. Lebih memeranjatkan, seluruh tubuhnya dibaluti kain cantik berwarna hitam. Baunya sangat wangi.

Seorang Mujahiddin bernama Abdul Galeel menemui ajal selepas peluru berpandu dituju kepadanya. Beliau adalah ulama yang disegani. Selepas solat jenazah, jasadnya dihantar ke rumah bapanya dan tidak dikebumikan sehingga pagi keesokkannya. Rakan-rakannya yang terdiri daripada Mujahiddin pergi melawatnya dan jasadnya seakan-akan senyum dengan mata terbuka kepada mereka. Pada Mujahiddin tersebut mengadu kepada guru mereka dan guru mereka hanya menyatakan ia adalah karamah para syuhada yang syahid di jalan Allah.

Syuhada Palestin

Gafaar adalah adik kepada dua orang syuhada Palestin, Muhammad dan Asem Rihan yang berasal daripada Naples. Beliau terkejut apabila membuka kubur Muhammad dan seorang lagi syuhada, Yasser Aseeda selepas 100 hari kematiannya pada 18 Februari 2002. Kubur mereka mengeluarkan wangian semerbak kasturi. Beliau menyaksikan bagaimana darah abangnya masih lagi kelihatan panas. Janggut abangnya juga masih lagi kekal tumbuh.

Seorang syahid bernama Anwar Hamran menemui maut dan dihantar oleh ibu, isteri dan adiknya ke hospital. Apabila mereka memeluknya, darah melekat pada pakaian dan pakaian yang terkenal darah tersebut mengeluarkan bau wangi semerbak.

Muhammad Yusuf Al Ashqar daripada Batallion Al-Aqsa. Darah kekal mengalir daripada lukanya di kepala sehingga beliau disemadikan di dalam liang lahad.

_______________________________

Artikel ini dipetik daripada tulisan seorang ulama Muhammad Lujain Az- Zain dalam bahasa Arab. Ia kemudian dialih bahasa kepada bahasa Inggeris oleh Dr. Amaged Amasha. Penulis kemudian mengambil inisiatif untuk mengalihkan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu mengikut kesesuaian gaya bahasa penulis.

**sumber daripada takusahrisau.wordpress.com
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment