Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Thursday, November 15, 2012


ADIK saya pernah meminjam wang kepada saya. Sebagai abang, tentu sahaja saya memberikan pinjaman kepadanya. Namun yang jadi masalah: Dia sangat liat membayar kembali hutang itu. Puas saya menunggu dan merayu, tapi dia tak memberinya juga.

Masalahnya dia bukannya tidak mampu membayar. Saya lihat pakaian anak dan isterinya berjenama. Baju dan kasut mereka, bahkan lebih mahal daripada yang dipakai anak-anak saya sendiri. Dia pernah berkata: “Awak dah kaya. Saya tak wajib bayar hutang kepada awak.” Betulkah ucapan sebegini?


Jawapan


Ucapan seperti ini tentu sahaja tidak benar. Hutang seberapa kecil pun tetap wajib dibayar meskipun pemilik hutang itu seorang jutawan yang kaya raya.

Sebagai agama yang menjunjung keadilan, Islam sangat menghormati hak milik seseorang. Ia melihatnya sebagai sesuatu yang suci. Tiada siapa yang boleh mengambil milik orang lain tanpa kerelaan hati daripadanya.

Daripada Abu Humaid Al-Saidi, Rasulullah SAW bersabda: 
“Tidak halal bagi seseorang mengambil walau sebatang tongkat milik saudaranya tanpa kerelaan hati daripadanya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahih-nya.)

Islam juga melihat sikap enggan membayar hutang adalah satu bentuk kezaliman. Pelakunya sangat dibenci oleh Allah, Rasulullah SAW dan seluruh manusia.

Baginda SAW bersabda: 
Menangguh hutang padahal mampu membayarnya adalah satu kezaliman. Maka halal menghukumnya dan (memburukkan) namanya. (riwayat Al-Bukhari)
Maksud hadis ini, kita boleh mengadukan orang yang enggan membayar hutang kepada hakim untuk diambil tindakan ke atasnya. Dan mendedahkan sifat buruk orang ini bukan termasuk mengumpat yang diharamkan.

Bahaya hutang

Islam melihat hutang sebagai sesuatu yang berat. Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk menghindari hutang sedaya mungkin. Jangan berhutang kecuali sangat terpaksa seperti membeli rumah yang sukar dibayar secara tunai. Itu pun mesti bersesuaian dengan kemampuan diri dan tidak berlebihan.

Adapun berhutang hanya untuk tampil bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka kebiasaan ini sangat buruk. Islam menyebut sikap ini sebagai takalluf (memaksa diri di luar kemampuan). Dan orang yang takalluf akan selalu hidup dalam seksaan.

Hutang akan membuat kita hidup dalam ketakutan. Setiap kali keluar rumah, kita khuatir berjumpa dengan penagih hutang. Kita juga takut menjawab panggilan telefon. Khuatir panggilan itu berasal dari si penagih hutang. Sungguh penat hidup seperti ini.

Itu sebabnya Nabi SAW selalu berdoa agar dihindarkan daripada hutang. Siti Aisyah berkata: 
“Doa yang selalu dibaca Nabi SAW dalam solat adalah: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.”

Seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa tuan selalu berlindung daripada hutang?”

Baginda menjawab: 

Sesungguhnya orang berhutang jika ia berkata, ia akan berdusta. Dan jika ia berjanji, ia tidak menepati janjinya. (riwayat al-Bukhari)
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment