Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Tuesday, November 27, 2012


Fahaman Syiah yang dibawa masuk ke negara ini berpaksi kepada kecenderungan untuk mengkafirkan sahabat Nabi dan golongan ini perlu dikekang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Syiah jenis ini yang dianuti majoriti di dunia dianggap sangat berbahaya.

“Syiah berbahaya, bukan setakat biasa tetapi sangat-sangat berbahaya. Mereka ahli bidaah paling besar apabila mengkafirkan sahabat Nabi,” tegasnya.

Fathul Bari berkata, sejak kemunculan Syiah pada zaman Khalifah Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib, demonstrasi pertama dalam Islam adalah berasaskan ideologi Syiah.

“Syiah adalah agama politik. Ia membawa ideologi taksub, fanatik, ghuluw (melampau) dan memiliki ideologi Khawarij yang sentiasa tidak berpuas hati dengan sesiapa sahaja yang memerintah, kecuali pemimpin berakidah seperti mereka. Itu sebab mereka adalah agama politik,” katanya.

Menurutnya, realiti dunia hari ini juga membuktikan bagaimana Syiah menentang dan berusaha menggulingkan kerajaan di negara di mana terdapat penganutnya seperti di Timur Tengah.

“Dua tahun lalu, puak Syiah telah datang secara berkumpulan dan memijak-mijak kubur sahabat Nabi di perkuburan Baqi’ di Madinah. Bagaimana kita hendak menerima mereka?” soalnya.

Fathul Bari berkata, sukar untuk mencari titik persamaan antara ahli Sunnah dan Syiah.

“Apa perasaan kita, kalau orang kafirkan sahabat Nabi. Kafirkan Abu Bakar, Umar dan Uthman yang kita tahu bahawa Abu Bakar menjadi peneman Nabi ketika Hijrah, orang yang percaya semua apa Nabi sebut. Juga bapa mertua Nabi yang korbankan keseluruhan kehidupan- nya untuk jalan Allah SWT.

“Sahabat yang terlalu menyayangi Nabi, yang bersama-sama bersembunyi dengan Nabi di dalam Gua Thur, yang begitu bimbang akan keselamatan Nabi sedangkan dirinya tidak dihiraukan sama sekali.

Dalam peristiwa Thaif, siapa yang peluk Nabi daripada balingan batu penduduk yang menolak kehadiran Rasulullah SAW? Abu Bakar peluk Nabi hingga darah meleleh pada tubuhnya.

“Bagaimana kita hendak cari titik temu atau duduk sekali dengan orang yang mengkafirkan Abu Bakar? Ini baru bercakap mengenai sahabat Nabi, belum lagi masuk dalam hal yang lain,” kata Fathul Bari.

Menurutnya, umat Islam di negara ini yang berpegang kepada mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah perlu berhati-hati dengan Syiah yang mana penganutnya mengamalkan pegangan mereka secara ’taqiyyah’ iaitu menyembunyikan akidah dan menzahirkan sesuatu yang sesuai dengan realiti masyarakat setempat.

“Oleh sebab itu, mereka boleh hidup di mana-mana walaupun mereka sebenarnya mereka adalah agama politik.

Dalam rukun Islam dan Iman mereka ada (menyatakan) beriman kepada pemerintahan mereka.

“Imam mesti daripada kalangan mereka dan selainnya tidak akan diiktiraf,” katanya. Menurut Fathul Bari, Syiah juga mempunyai Imam Mahdi versi mereka sendiri iaitu Imam Mahdi Al Muntazar, imam yang ke-12 dalam senarai Imam yang dipegang oleh penganut Syiah Imamiyah.

“Imam Mahdi versi kita lain. Imam tersebut dibahaskan ulama dalam kitab hadis yang sahih.

Syiah tidak terima kitab dan hadis kita. Mereka bawa satu hadis yang menyamakan imam mereka setaraf dengan malaikat serta Nabi yang diutus (Allah). Akidah apa ini? Itu sebab bahaya,” katanya.

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment