Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Sunday, December 9, 2012


Dalam kebanyakan surat-surat yang dikirimkan oleh Rasulullah SAW kepada beberapa orang raja adalah bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam, salah seorang di antaranya ialah raja Busra, surat kepada raja ini di hanta
r oleh Haris bin Umar Azdi ra.

Sewaktu membawa surat ketika Haris bin Umar ra. sampai di Mauta beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang gabenor Kaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris bin Umar ra. adalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah SAW sangat dukacita atas kematian Haris, lalu baginda mengumpulkan seramai 3000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Rasulullah SAW, melantik Zaid bin Harthah sebagai ketua pasukan.

Kemudian Baginda SAW, bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran: “Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh maka Abdullah bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan.

Dan sekiranva Abdullah juga terbunuh maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu orang yang kamu kehendaki.”

Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata: “Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban kerana ini adalah lumrah sebagimana para-para Nabi yang terdahulunya selalu meramalkan.”

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah SAW memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh baginda SAW kepada Zaid. Rasulullah SAW menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan baginda berdoa: “Semoga Allah SWT akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperolehi kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan.”

Setelah Rasulullah SAW selesai berdoa, Abdullah bin Rawahah menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud:

“Aku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancarkeluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air.

Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan isi perutku.

Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan berkata:
Semoga engkau telah gugur kerana Allah…. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.”

Di pihak musuh pula ketuanya yang bernama Sarjil, telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam, Sarjil mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk menghadapi serangan tentera Islam.

Ketika, Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, ia mendapat berita bahawa Kaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri dari 100,000 orang untuk menolong Sarjil.


Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir samada mara atau pun tidak untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu Abdullah bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang:

“Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu semua datang kesini?

Bukankah kamu semua datang kesini untuk mati syahid. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah SWT ke atas setiap kita pejuang-pejuang agamaNya.

Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua: Kemenangan atau syahid!”

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah bin Rawahah, maka para sahabat pun bertekad untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan peperangan Mauta.

Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid ra. menggenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran, maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam dengan tentera Kristian.

Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu.


Sarjil telah mengirim berita kepada Kaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan tentera, maka Kaisar pun menghantar tenteranya yang gagah berani seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentara Islam yang cuma 3000 orang sahaja.

Dalam pertempuran yang sengit itu maka syahidlah Zaid ketua panglima tentera Islam.

Jaafar ra. mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera, beliau dengan sengaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran.

Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan itu Jaafar membaca beberapa ungkapan syair:

“Wahai manusia! Betapakah indahnya syurga.
Dan betapa gembiranya tentang kehampirannya!
Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan, aku mesti hapuskan mereka semua.”


Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memegang pedang beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan menggigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung.

Darah mengalir seperti air paip. Datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar ra. sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar ra. Umur Jaafar ra. ketika itu ialah 33 tahun.


Abdullah bin Umar ra. menceritakan, “Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran. Kami dapat mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.”

Sewaktu Jaafar ra. terbunuh Abdullah bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan. Beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar berita tentang kematian Jaafar. Dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata “Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedangkan Jaafar telah sampai ke syurga.”

Tanpa membuang masa Abdullah bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran anak-anak jarinya banyak yang parah dan banyak yang tergantung dengan isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya.

Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbandingkan tentera musuh yang ramai.

Dalam tengah berangan-angan itu dia tersentak dan berkata ia dalam hatinya: “Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian?”

Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga.

Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua.

Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah.”

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata: “Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama tiga hari.”

Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran, beliau melemparkan daging tersebut. Dengan pedang yang terhunus beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau syahid di medan pertempuran itu.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment