Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Saturday, December 22, 2012




Oleh SITI AINIZA KAMSARI

PENULIS buku terkenal, Muhammad Alexander Wisnu Sasongko yang begitu mendalami persoalan hari kiamat dalam sebuah buku karya terbaru beliau iaitu Armagedon 2012 – Bencana Akhir Zaman yang setebal 558 muka turut meminta umat Islam tidak tersesat dengan dakwaan 2012 merupakan tahun yang mengakhiri usia dunia ini.

Beliau mengulas bahawa ramalan bencana besar yang akan berlaku pada 2012 dan apa juga bentuk ramalan yang seumpama itu adalah bahaya kepada orang yang tidak memiliki iman yang kuat kerana dikhuatiri mereka akan mempercayainya.

Di samping itu, ia juga sangat bertentangan dengan akidah Muslim, kata penulis buku-buku bestseller seperti Yakjuj dan Makjud: Bencana Di Sebalik Gunung (2010) dan Alexander adalah Zulqarnain (2009) yang meraih jumlah cetakan melebihi 20,000 naskhah di negara ini

Walaupun kita tidak pernah menemui para peramal bagi mendapatkan ramalan-ramalan mengenai bila akan berlakunya kiamat itu, tetapi jika kita sekadar mempercayai melalui apa yang kita dengar, baca dan lihat juga dikhuatiri boleh merosakkan iman dan akidah.

Sedangkan Islam telah menegaskan bahawa hukum mempercayai ramalan terutama dari tukang-tukang ramal adalah haram. Umat Islam sama sekali ditegah dari mempercayai sebarang ramalan terutama yang tidak bersandarkan al-Quran dan hadis.

“Sesiapa yang menemui paranormal, dukun ataupun ahli nujum (ahli astrologi) dan mempercayai apa yang mereka katakan, maka kafir atas apa yang yang diturunkan kepada Muhammad,” (riwayat Tirmidzi dan Abu Daud)

Menurut Muhammad Alexander, melalui teks al-Quran dan hadis telah membuktikan tarikh hari kiamat adalah rahsia Allah.

“Hari kiamat termasuk dalam kategori perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Manusia termasuk Nabi Muhammad dan Malaikat Jibrail pun tidak mengetahui akan tarikh berlakunya kiamat itu,” katanya.

Tetapi Allah memberitahu tanda-tanda kiamat. Tanda-tanda besar sebagai memberitahu Kiamat benar-benar sudah hampir, seperti:

  1. Kemunculan atau keluarnya asap putih yang menyelubungi seluruh atmosfera bumi,
  2. Kemunculan Dajjal, bermata satu yang bertujuan untuk menyesatkan manusia termasuk dengan mengaku bahawa dirinya Allah.
  3. Turunnya Nabi Isa AS bagi menyelamatkan manusia dari fitnah dajjal tersebut.
  4.  Munculnya juga bangsa atau kaum Yakjud dan Makjud
  5. Dan apabila matahari tidak lagi terbit dari sebelah timur tetapi mula terbit dari sebelah barat.

“Sebenarnya kiamat versi Islam juga memang ada menceritakan tentang gempa bumi yang besar sebagaimana gambaran kejadian yang menjadi ramalan para peramal barat dan lain-lain individu mengenai berlakunya kiamat tersebut.

“Ini termasuklah juga bumi yang bergegar, gunung ganang yang berterbangan dan hancur menjadi debu dan tsunami besar,” katanya.

Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran: 

Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya dan gunung ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah ia debu yang berterbangan. (al-Waqiah: 4-6)
Dan apabila lautan pecah bercampur baur. (al-Infitar: 3)

Dalam Islam, kiamat kubra (kiamat besar) berakhir dengan kematian seluruh umat manusia.

“Jadi bagaimana kita boleh percaya bahawa kiamat berlaku pada 2012 sebagaimana yang diramalkan dan difilemkan jika masih ada manusia yang terselamat apabila menaiki kapal-kapa laut yang dibina dengan begitu canggih dan tahan bencana,” kata Muhammad Alexander.

Dengan buku Armagedon 2012 itu, Muhammad Alexander tidak sahaja menidakkan ramalan kiamat yang kononnya akan berlaku pada 2012 tetapi kajian beliau mengenai fasa demi fasa berlakunya kiamat itu mengikut al-Quran, hadis dan bukti dari aspek sains moden yang pada akhirnya pembaca mampu menelah sendiri akan bila dikatakan kiamat itu akan berlaku.

Sementara seorang lagi penulis Islam terkenal, Adnan Oktar atau lebih dikenali sebagai Harun Yahya dalam bukunya Hari Akhir dan Imam Mahadi menjelaskan pelbagai tanda kiamat di dalam al-Quran.

Tambahan penjelasan mengenai hari akhirat dalam kitab-kitab hadis memungkinkan kita sampai pada sebuah kesimpulan yang penting, iaitu terdapat dua tahap atau fasa berlakunya kiamat.

Tahap pertama adalah tempoh di mana seluruh manusia mengalami pelbagai masalah material dan spiritual (kerohanian dan jiwa).

Setelah itu bumi akan memasuki tempoh selamat yang disebut sebagai masa keemasan yang ditandakan dengan kehidupan yang penuh rahmat dan berkat serta tegaknya agama Islam yang benar.

Menjelang akhir masa keemasan, akan ada keruntuhan sosial dalam masa waktu yang singkat. Di saat itulah manusia akan menunggu berlakunya kiamat dalam erti kata yang sebenar.

Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, yang bermaksud: 

Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan Hari Kiamat yang datangnya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedah bagi mereka kesedaran mereka itu apabila Hari Kiamat sudah datang? (Muhammad: 18)

Justeru, Hari Kiamat sememangnya sedang menunggu kita, sedangkan manusia pada hakikatnya mengetahui ‘bila’ akan berlakunya kiamat itu dan jika berlaku pada hari ini sekalipun, umat Islam sememangnya telah bersedia untuk menghadapinya.

Ini kerana kita telah diberikan panduan dan tanda-tanda berlakunya kiamat. Jadi mengapa kita harus percaya pada ramalan-ramalan dan khayalan manusia yang ada kepentingan dan perjanjian dengan syaitan itu?
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment