Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Monday, January 21, 2013


KITA menyaksikan pelbagai paparan berita mengenai bencana alam yang menimpa muka bumi ini. Setiap kali munculnya bencana, tampillah pakar bagi mengkaji punca berlakunya kejadian menyedihkan itu.

Mereka cuba menggunakan segala kepakaran dimiliki mengusulkan langkah serta kaedah terbaik berhadapan dengan kemungkinan bencana pada masa akan datang.

Namun, apa yang lebih mustahak ialah melihatnya dari sudut pemikiran agama. Ia penting supaya kita sentiasa berada dalam ruangan daya fikir yang tepat bagi mengukuhkan lagi iman dan takwa.

Dalam merungkai isu itu, ulama besar, berkata, tiga perkara mengapa Allah cetuskan musibah bencana alam di muka ini.

Faktor pertama ialah bencana yang berlaku itu adalah bentuk hukuman kepada manusia yang kufur kepada Allah. Itulah yang dikatakan sebagai bala.

Katanya, Allah menghukum umat Islam dan bukan Islam yang ingkar kepada arahan dan perintah Allah, yang selama ini bergelumang dalam kancah maksiat, bertindak derhaka terhadap ajaran Allah, melawan agama Allah dan menafikan hukum-hukum al-Quran.

Manusia dalam golongan itu ada kalanya berani bertindak mengubah kehendak agama mengikut selera nafsu sendiri sehingga terpesong jauh dari bentuk keaslian Islam yang sebenar.

Lalu mereka mengundang kemurkaan Allah dan jelas di dunia lagi mereka sudah pun mendapat laknat Allah. Belum lagi bagaimana nasib di akhirat kelak.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun daripada (azab) Allah.” (Maksud Surah ar-Ra’d ayat 34).

Faktor kedua, musibah yang berlaku di dunia ini adalah satu peringatan buat yang selamat atau masih hidup. Sama ada mereka terbabit sama ataupun mereka yang hanya sebagai ‘penonton’ kepada paparan bencana yang terjadi.

Faktor ketiga, berlakunya bencana untuk menunjukkan kepada kita Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya. Lihat bagaimana dahsyatnya Tsunami yang menggegarkan bumi seperti yang berlaku pada 8.59 waktu Malaysia 26 Disember 2004.

Ia tentu mengingatkan kita bahawa musibah yang ditimpa Allah jauh lebih dahsyat kerana dalam sekelip mata ratusan ribu nyawa maut ‘ditelan’ ombak besar.

Allah mengutuskan air yang bergulung sehingga menimpa kawasan yang berukuran luas sekali. Di situlah pengajaran yang perlu direnungi selain berusaha memelihara gaya kehidupan supaya menepati piawai agama sebenar.

Pesanan Ibnu Athaillah Askandary dalam kitabnya, ‘al-Hikam’, katanya, hikmah Allah turunkan cubaan ke atas hamba-Nya supaya mengingatkan manusia kepada Allah.

Jika tidak disentuh kelalaian manusia, mereka akan terus melupakan Allah, lupa untuk menunaikan hak Allah dan hak makhluk Allah. Juga cubaan Allah itu dapat melemahkan nafsu dan seterusnya mengelakkan manusia daripada melakukan perkara yang Allah murkai.

Justeru, segala rentetan bencana yang menimpa bumi sejak sekian lama wajarlah menjadi peringatan supaya kita tidak ‘derhaka’ terhadap Allah dan agamanya.

Taatlah kita kepada segala perintah Allah dan menjauhi apa juga larangan-Nya. Menurut Ulama' lagi, orang beriman juga tidak dapat lari daripada bencana.

Semua yang berlaku adalah proses bagi mempertingkat lagi tahap keimanan seseorang hamba ke tahap yang lebih tinggi. Mungkin selama ini kita beranggapan kenapa orang mukmin di Palestin ataupun di Acheh sering ditimpa musibah.

Namun, seandainya kita meneliti apa yang dikemukakanoleh ulama' itu kita akan terpanggil untuk melihat perbandingan antara diri kita yang senang dan aman melayari kehidupan dengan mereka yang sering berkecamuk dilanda gelombang pelbagai bencana.

Tahap keimanan mereka begitu utuh sehingga Allah sering menguji mereka. Kita perlu bermuhasabah meneropong diri sendiri di mana tahap keutuhan iman kita dalam keadaan baik dan sempurna itu.

Jika masih lemah dan sering terumbang-ambing, maka kita perlu pula melaksanakan usaha ke arah memperkukuhkannya. Jadikan kejadian bencana selama ini sebagai wadah untuk memperbetulkan gaya hidup supaya selari dengan tuntutan agama.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment