Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Monday, January 7, 2013

Izzudin Al-Qassam
Nama lengkap beliau adalah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria dan dia pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir untuk beberapa tahun mulai 1906.


Sheikh Al-Qassam adalah seorang imam, guru dan juga sheikh Tareekat Ash-Shazaliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Dia mengikut serta di dalam revolusi Syria memerangi penjajahan Perancis. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920.

Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah besar di bumi Palestin.

Izzudin Al-Qassam datang ke Palestin sebagai mujahid kerana dia benar-benar memahami rancangan jahat yahudi yang mengerikan yang telah dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Swizland pada 29-30hb Ogos 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara nasional untuk orang Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya. Sheikh Izzudin juga melihat penhijrahan orang Yahudi secara besar-besaran ke bumi Palestin dan para pemuda Palestin bersenjata datang dari pelbagai penjuru dunia untu merebut tanah dengan kekerasan ataupun pujuk-rayu.

Di Haifa dia tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An Nasr. Kemudiannya berpindah tugas di Masjid Al-Istiqlal iaitu asjid terbesar ketika itu. Pada tahun 1927 dia mendirikan pejabat cawangan Jam'iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan pemuda Muslim) di Kota Haifa dan dia bertindak sebagai pemimpinnya.

Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun sebahagian daripada mereka mempunyai pendapat yang aneh. Ada di antara mereka yang bepandangan bahawa cukup untuk menghadapi mereka dengan demonstrasi, atau sebahagiannya mengatakan cukup dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian permasalahan ini.

Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali identiti mereka, mengadakan pembinaan, latihan organisasi dan mempersiakan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan. Dalam tempoh tujuh tahun beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan dengan berbagai kalangan masyarakat juga mengizinkan beliau memiliki dana kewangan.

Perjuangannya sangat menitikberatkan kepada tiga perkara utama:
  • Kewaspadaan terhadap ancaman Yahudi secara berterusan.
  • Ajakan untuk berjihad.
  • Memilih orang-orang yang berkualiti dan dibekalkan dengan pemikirian yang benar serta kemahiran ketenteraan.


Mempersiapkan generasi pendokong kebenaran menurut Izzudin memerlukan:

  • Mengadakan hubungan baik dengan setiap orang, baik yang mempunyai komitmen pada agama mahupun tidak. Jika orang ini berubah, maka ia akan menjadi pejuang yag hebat dan dapat menjalankan tugas-tugasnya untuk memelihara hubungan yang luas.
  • Menanamkan rasa cinta di antara sesama manusia kerana penjajah dan yahudi telah banyak menyebarkan bibit-bibit perpecahan di kalangan masyarakat.
  • Mengajak orang yang dianggap baik dengan berkunjung ke rumahnya. Sheikh Izzudin saling membina suasana keakraban dan persaudaraan sehingga mencapai tahap berterus-terang untuk menyatakan tujuan perjuangan iaitu menyelamatkan Palestin.
  • Izzudin berkeyakinan bahawa Palestin tidak akan dapat diselamatkan kecuali jika rakyatnya dibangkitkan rasa tanggungjawabnya, lelaki, perempuan, orang awam ataupun ulama meyakini dan bangun berjuang.

Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam serangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah terbunuh. Pasukan Izzuddin Al-Qassam meneruskan serangan dan menyebarkannya ke seluruh wilayah pergunungan.

Setelah pasukan Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis bertindak mempersempitkan ruang geraknya di Haifa, maka Sheikh Al-Qassam bersama enam sahabat rapatnya berpindah ke daerah pergunungan pada tahun 1935.

Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah tersebut dia membahagikannya kepada beberapa kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang dan salah seorang daripada mereka akan diangkat sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh yang agak singkat, pasukannya bertambah banyak dan mencapai keanggotaan seramai 800 pejuang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima orang membesar menjadi sembilan orang.

Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di tahun 1935, Izzudin Al-Qassam dalam usianya yang telah mencapai enam puluh tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Dia mengumpulkan aggota keluarganya untuk memberitahukan niatnya dan menjanjikan untuk berjumpa di syurga.

Pasukan Inggeris dengan senjata yang lengkap dan dibantu dengan pesawat bertempur menyerang pasukan Izzuddin Al-Qassam di Ya'bad. Dalam pertempuran tersebut Izzuddin Al-Qassam gugur sebagai syahid bersama dua orang pejuang lainnya pada 20hb November 1935.

Orang-orang Palestin di seluruh negara melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah as Syahid Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan orang ke makam yang ada di kampungnya. Kesyahidan tiga pejuang tersebut telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan permogokan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi palestin.

Jasa Sheikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenangi oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin malahan sebuah sayap ketenteraan HAMAS (Harakah Muqawamah Islamiyah), menabadikan namanya dalam unit dan bendera mereka.

Berbicara mengenai tradisi pergerakan Islam moden dan sejarahnya, nama Izzudin Al-Qassam tidak dapat dipisahkan; beliau memiliki cara yang tersendiri dalam pembinaan generasi Islam dengan menggunakan pendekatan pendidikan, kesiap-sagaan, organisasi dan jihad. Jika diamati lagi, dalam aliran pergerakan Islam terdapat seorang tokoh besar yang mempunyai kaedah pergerakan yang pelbagai dan dia adalah salah seorang tokohnya.


Oleh: Zainur Rashid Zainuddin

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment