Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Tuesday, February 19, 2013


Kisah Scarlett, Si Ibu Kucing Yang Menyentuh Hati..

Kisah si kucing yang bernama Scarlett, yang sebelumnya merupakan kucing jalanan menunjukkan kasih tidak berbelah bagi terhadap anak-anaknya. Walaupun kisah ini telah lama berlaku dan Scarlett telahpun tiada lagi. Ini adalah kisah seekor ibu kucing yang sanggup meredah api demi menyelamatkan anak-anaknya..

Kejadian Kebakaran

Scarlett dianggarkan berusia 9 bulan ketika kejadian berlaku. Melahirkan 5 ekor anak-anak yang comel di salah sebuah bangunan usang (abandoned) di Brooklyn, New York pada tahun 1996. Pada 30 Mac, bangunan tersebut terbakar atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Bomba telah dihubungi untuk memadam kebakaran tersebut dari merebak ke bangunan berhampiran.

Ketika api mula berjaya dikawal, salah seorang ahli bomba, David Giannelli terdengar bunyi suara kucing yang halus berdekatan dengan bangunan yang runtuh. David terpandang Scarlett yang terbaring bersama 2 ekor anak kucing berpelukan. Manakala 3 ekor lagi dijumpai di seberang jalan kawasan tersebut.

Scarlett dipercayai membawa anak-anaknya seekor demi seekor keluar dari bangunan tersebut dalam keadaan panas dan asap tebal. Scarlett berada dalam keadaan agak parah dengan matanya luka, telinga terbakar, tapak kaki melecur dan badannya berasap, dalam cubaan menyelamat anak-anaknya dari kebakaran. Bulunya juga mempunyai banyak kesan hangus terbakar. Dapatkah anda bayangkan bagaimana keadaannya ketika itu menggonggong anak seekor demi seekor keluar masuk bangunan? Demi kasihnya terhadap anak-anaknya yang baru berusia beberapa minggu.

David memasukkan Scarlett dan anak-anaknya ke dalam kotak. Scarlett dalam keadaan matanya yang luka dan kabur menghidu anak-anaknya seekor demi seekor bagi memastikan mereka semua masih hidup dan ada bersamanya sebelum jatuh pengsan.

'Kasih seekor ibu kucing' :)


Versi 2 




Pengorbanan Si Ibu.....
*Sebagai Ikhtibar

Scarlett. Itulah nama bagi seekor ibu kucing yang amat berani, penuh kasih sayang dan sanggup menghadapi pelbagai kemungkinan. Mempunyai bulu jenis Calico, ia pernah menjadi tajuk perbualan utama seluruh dunia dalam insiden menyelamatkan lima ekor anak-anaknya daripada dijilat api kebakaran di tempat tinggalnya.

Mengimbau kembali kejadian ngeri itu, Scarlett tinggal di dalam garaj di Brooklyn bersama anak-anaknya. Ketika kebakaran itu berlaku, tiada ahli keluarga tuannya yang berada di rumah kerana mereka semuanya keluar bekerja. Setelah api dipadamkan, anggota bomba dapat melihat kucing itu dengan perlahan-lahan membawa anak-anaknya berusia empat minggu dari bangunan yang telah rentung, hangus dijilat api.

Keadaan Scarlett yang hangus teruk sangat menyayat hati mata yang memandang. Dalam keadaan telinganya yang terbakar, matanya yang melecur serta melekat dengan hidungnya, dengan penuh kasih sayang dia menyusun anak-anaknya seekor demi seekor agar selamat walaupun keadaan dirinya amat kritikal. Setelah memastikan kesemua anaknya selamat, ia rebah menyembah bumi lalu pengsan tidak sedarkan diri. (gambar 1 & 2)

Ahli bomba David Giannelli mengambil kesemua kucing-kucing itu untuk dirawat. Akhirnya, setelah dirawat, Scarlett kembali sihat. (gambar 3) Namun, parut di muka dan badannya tidak dapat dihilangkan. Selepas daripada itu, Scarlett dan anak-anak diambil semula oleh tuannya untuk dijaga.

Kini Scarlett telah tiada. Kejadian yang berlaku pada tahun 1996 banyak memberi pengajaran kepada kita tentang erti pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu walaupun ia hanya seekor haiwan.

P/S : Duhai Scarlett, dirimu merupakan contoh Ibu yang terbaik. Anak-anak dan keturunanmu pasti berbangga dengan pengorbanan yang engkau lakukan. Manusia yang MEMBUANG dan MEMBUNUH anak mereka perlu malu kepada kamu! Kamu hanyalah seekor haiwan namun hatimu lebih mulia dari manusia yang ramai berperangai seperti syaitan. Semoga kisah ini menjadi pengajaran dan tauladan kepada kita semua.

Sumber : Keharmoniaan Rumahtangga Dan Keluarga Muslim
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment