Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Friday, October 18, 2013

pergerakan solat secara berjemaah menunjukkan keseragaman ibadat umat Islam.

LELAKI bernama Abdul Sabur Wijnands, 61, ini dilahirkan di Belanda dan ibu bapanya adalah beragama Katolik. Pada masa dahulu orang Belanda Katolik adalah kumpulan yang paling berpengaruh di seluruh dunia apatah lagi jika mereka adalah paderi besar (pope) dan biskop yang mesti dihormati dan dipatuhi.

Lantaran hidup dalam lingkungan yang digelar RIE atau Roman In Everything, Abdul Sabur menerima pendidikan awal di sekolah Katolik. Beliau membesar dan memperoleh perlindungan daripada tiga penjuru iaitu gereja, keluarga dan sekolah dengan agama menjadi keutamaan di dalam kehidupan.

Di Gred 4, ketika usianya 10 tahun, dalam kelas sejarah, Abdul Sabur mula dikenalkan dengan kewujudan khalayak yang bergelar Muslim menerusi kisah Perang Sabil. Sejak itu, dia selalu tertanya-tanya siapa mereka itu?

Sebagai informasi latar belakang, gurunya memberitahu bahawa Muslim sama seperti orang Kristian. Mereka percaya kepada Tuhan Yang Satu yang dipanggil Allah, manakala Nabi Muhammad itu adalah pesuruh-Nya.

Pun begitu, orang Islam turut mempercayai tentang Nabi Isa, cuma mereka tidak mengakui bahawa Nabi Isa itu adalah anak tuhan tetapi antara nabi yang penting.

Keterangan gurunya itu hakikatnya lebih menimbulkan keraguan dan syak wasangka kepada Abdul Sabur. Antaranya, mengapa perlunya bala tentera dari Eropah Barat untuk menentang orang Islam, waima diketahui bahawa agama itupun datangnya daripada Pencipta yang sama.

mesej

Malah masing-masing juga saling percaya kepada mesej yang dibawa oleh malaikat Jibrail iaitu tentang Maryam yang menjadi ibu kepada Nabi Isa. Alasan ini bagi Abdul Sabur memang tidak masuk akal.

Abdul Sabur benar-benar keliru dan tidak faham dengan kenyataan bahawa orang Islam itu sendiri menghormati Nabi Isa sebagai salah seorang nabi.

Dia hanya mampu tergelak sendirian dan pada usia semuda itu, Abdul Sabur sudah mula membayangkan kebimbangan jika cerita sebegini tidak dibendung kerana ia boleh membawa kepada kecelaruan di kalangan si cilik Kristian.

Suasana pengamalan agama Kristian berjalan seperti biasa sehinggalah pada 1962 sehingga 1965 di mana persidangan majlis Vatican kali kedua bersidang yang dihadiri ahli berpengaruh gereja dari seluruh dunia.

Lantas bagi memastikan kelancaran perkhidmatannya, penggunaan budaya Latin telah dimansuhkan dan ia disampaikan mengikut budaya negara masing-masing.

Di sebahagian negara kebiasaan seperti melutut sudah tidak diamalkan lagi. Lama-kelamaan ia sudah tidak dipraktiskan lagi. Hal ini menyebabkan, kehadiran penganut ke gereja semakin terjejas dan natijahnya, gereja-gereja kian sepi.

Tambah memburukkan situasi apabila dilanda 'revolusi 60-an' di mana orang sudah mula tidak ada kepercayaan, termasuklah Abdul Sabur. Beliau melihat agama sebagai satu yang ketinggalan zaman. Hal itu berlanjutan selama kira-kira 30 tahun.

"Apabila terserempak dengan program televisyen mengenai agama, dengan pantas saya akan mengubah ke siaran lain. Namun, sebaik melihat suasana umat Islam menunaikan haji di Kota Mekah, saya dapati ia sangat cantik. Diserikan lagi dengan percikan lampu yang sungguh menakjubkan.

Kiblat umat Islam

"Hati saya semakin terharu bila melihat ribuan umat Islam yang rukuk dan sujud pada masa yang sama, ke arah yang sama iaitu kiblat umat Islam, Kaabah. Gambaran itu, benar-benar menyentuh dan mengetuk hati nurani saya ini. Bagaimana mungkin?," perkataan itulah yang secara tiba-tiba terpacul daripada mulut Abdul Sabur.

Sewaktu berjalan-jalan di Kalverstraat di Amsterdam, dia melepasi sebuah gereja Katolik yang diberi nama The Papagaai ('The Parrot'). Di pintu utamanya terpampang perkataan tertulis, '15 minit untuk Tuhan' manakala di barisan keduanya tertulis, 'untuk tujuan itu, gereja ini dibuka setiap hari.'

Perkataan ini menambat saya kembali semula kepada penghayatan hidup beragama atau mempunyai semula kepercayaan. Setelah sekian lama, Abdul Sabur mula mengunjungi gereja, apatah lagi setelah menemui gereja yang dikelola secara tradisi zaman kanak-kanaknya itu. Suasana ini mengembalikan semula memori dahulu.

Pada masa sama, kehadiran pendatang dari Maghribi dan Turki telah membawa sekali agama Islam ke Belanda. Bermulalah episod baru kerana telah ada wanita bertudung, pembinaan masjid malah ada juga wanita Belanda yang memeluk agama Islam. Menurut mereka, Islam bukanlah agama yang menindas wanita tetapi sebenarnya ia memberi wanita rasa kebebasan dan Abdul Sabur mempercayainya.

Pada awal tahun 2004, ketika dia mengembara ke Amsterdam menaiki kereta api dan di dalam gerabak yang sama terdapat beberapa kumpulan gadis sekolah menengah sedang rancak berbual.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka keluar dan dia terkejut rupa-rupanya salah seorang gadis itu adalah orang Maghribi yang memakai tudung. Begitu juga dengan teman-temannya yang lain.

Abdul Sabur mula tersedar bahawa kini orang Maghribi telah beberapa generasi berada di Belanda, berkongsi idea, cita-cita dan membina masa depan seiring dengan gadis-gadis Belanda yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka.

"Mulai saat itu, Islam semakin menarik perhatian saya. Malah insiden 11 September menjadi titik perubahan kerana apa yang dilaporkan oleh pihak media seperti berat sebelah dan terlalu memburukkan serta sesuka meletakkan imej negatif terhadap agama Islam.

"Oleh kerana sudah tidak tahan dengan cara persembahan berita yang berat sebelah itu maka saya cuba mencari sumber maklumat lain. Saya cuba layari Internet dan laman web pertama yang ditemui iaitu 'moslima' (Wanita Muslim).

memeluk Islam

Dari situ, katanya, barulah dia mengetahui mengapa wanita Islam memakai tudung, sebab apa mereka memilih agama Islam dan kemudian memeluk Islam, bagaimana mereka melaksanakan amalan agama Islam.

"Semakin saya mengikuti cerita dan bahan-bahan dari laman tersebut, hati saya semakin mengagumi dan menghormati Islam," kata Abdul Sabur yang mula menjadi teman setia laman web tersebut.

Beliau juga pernah menghantar respons kepada kenalan di laman itu dan apabila mereka membahasakan dirinya seorang bukan Islam (non Muslim), Abdul Sabur menjadi keliru.

Pada masa sama, dia masih berkunjung ke gereja tapi rutin kedatangannya kali ini agak terganggu dengan lagu-lagu yang didendangkan kerana ada seperti yang tidak kena. Berbeza dengan surah Nisaa' ayat 171 mengenai pandangan al-Quran tentang Nabi Isa. Ia begitu jelas dan tiada niat berselindung.

Tidak semena-mena, seperti ada ketenangan menyusup dalam dirinya. Kata-kata seorang wanita yang dikenali menerusi laman sembang di Internet kembali menerjah di mana katanya, Allah akan memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

"Barulah saya tahu Islam itu adalah satu cara hidup dan saya benar-benar berhasrat menjadikan ia sebagai cara hidup saya. Perkara pertama yang saya lakukan ialah berhenti mengambil minuman beralkohol.

"Bermula dengan mengurangkan jumlah pengambilan. Diikuti pula dengan tidak lagi menyentuh daging babi. Untuk serta merta berhenti, adalah amat sukar kerana saya memang meminatinya.

"Pun begitu sebuah hadis yang berbunyi, "Apabila ada berniat melakukan kejahatan tetapi anda memilih untuk menolaknya hanya kerana Allah. Ini bermakna anda telah melakukan kebaikan", telah menyelamatkan saya sehingga ke hari ini. Perlahan-lahan saya mula mengubah kepada hanya mengambil makanan yang halal sahaja.

"Langkah seterusnya ialah belajar mendirikan solat. Dengan menggunakan kemajuan teknologi, akhirnya saya dapat memenuhi sama ada pergerakan, kefasihan membaca surah dan bacaan dalam solat," akui Abdul Sabur.

Tidak lama selepas itu, Abdul Sabur turut berhadapan dengan beberapa masalah di tempat kerja dan juga kehidupan peribadinya. Masalah demi masalah ini, akui Abdul Sabur sedikit sebanyak telah menjejaskan keimanannya.

Dia mula mempersoalkan keyakinan diri kepada agama Islam. Tambah buruk apabila berlaku insiden berdarah yang dilakukan oleh mereka yang mengakui Islam dan semua itu demi Islam. Sedangkan, Islam menentang berbunuh- bunuhan, balas dendam dan banyak lagi.

Rupa-rupanya, semua itu berpunca kerana sikapnya yang terlalu terburu-buru bergelar dan mempraktikkan cara hidup Muslim.

Masakan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, dia boleh dengan sekelip mata bertukar dari Kristian kepada Muslim. Yang mampu mendirikan solat lima kali sehari, berpuasa dan banyak lagi.

Seharusnya semua itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Akhirnya, sebaik selesai mendirikan solat Maghrib, Abdul Sabur melafazkan syahadah dengan Allah SWT sebagai saksinya.

Susunan ZUARIDA MOHYIN
Utusan Malaysia
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment