Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Sunday, February 23, 2014


Kassim Ahmad bersama buku karangannya yang menimbulkan kontroversi dan diharamkan di Malaysia.

SEMINAR Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 di Putrajaya kembali mencetuskan polemik tentang ideologi antihadis selepas isu itu “berkubur tanpa nisan” sekitar 1990-an dulu.

Kassim, seorang karyawan dan bekas aktivis politik mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng dan menyamakan sistem ulama dengan “kasta paderi”.

Beliau turut menyinggung perasaan umat Islam apabila mendakwa golongan itu melakukan beberapa kesalahan seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan ungkapan syahadah serta menyatakan bahawa rambut bukanlah aurat bagi wanita.

Resolusi seminar itu juga mahu mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu. Ia turut mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadis.

Satu lagi cadangan seminar itu adalah membuat surat untuk memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad.

Alhamdulillah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pantas bertindak dengan memberi respons berhubung isu tersebut. Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Othman Mustapha, mengeluarkan kenyataan bahawa pemikiran Kassim itu adalah salah dan perlu dijauhi.

“Memandangkan pemikiran Kassim ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, (ASWJ) maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.

“Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam,” katanya kelmarin.

Sebagai orang Islam, amat penting bagi kita berusaha memastikan akhir hayat kita adalah dalam khusnul khatimah (kesudahan yang baik), bukan sebaliknya iaitu su’ul khatimah. Antara yang membawa kepada kesudahan tidak baik adalah melanggar asas sumber utama hukum agama. Dalam fahaman ASWJ sumber utama hukum adalah al-Quran dan sunnah diikuti ijmak ulama dan qias.

Pendek kata, menolak salah satu daripada perkara itu boleh menjadikan seseorang itu murtad. Ini termasuklah golongan yang menolak hadis.

Ini turut ditegaskan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria iaitu umat Islam yang menolak hadis dan al-Quran hukumnya boleh murtad kerana ajaran serta undang-undang Islam berdasarkan kepada dua asas tersebut. Hadis dari segi istilahnya sebagai mana yang kita sedia maklum adalah setiap ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifat yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.

Kita semua maklum bahawa hadis Nabi SAW memperincikan lagi hukum Allah termasuk dalam bab mendirikan solat. Al-Quran hanya menyebut tentang kefarduan solat tetapi baginda SAW yang menjelaskan kepada kita bagaimana kaifiat atau pelaksanaan solat itu. Hasil penjelasan itulah yang menjadi ikutan dan panduan umat Islam sejak dulu hinggalah hari kiamat tentang pelaksanaan solat.

Analoginya, jika dikumpulkan hadis-hadis berkaitan solat itu ia persis kita membuat rakaman cakera padat digital (DVD) masa kini. Pendek kata, semua kemusykilan dalam bab rukun solat, sunat-sunat ab’ad, sunat hai’ah dan sebagainya semua dijelas dan dirungkaikan. Bayangkan kesulitan yang bakal dihadapi oleh umat tanpa sunnah Nabi SAW berkaitan solat.

Bulan Rabiulawal yang lalu, umat Islam di negara ini mengadakan pelbagai sambutan Maulidur Rasul. Semuanya dibuat bagi menyatakan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW, insan yang membawa rahmat ke atas sekalian alam. Allah SWT juga berfirman yang antara lain bermaksud Nabi SAW ialah contoh ikutan terbaik kepada kita (rujuk surah al-Ahzab: 21). Namun yang peliknya, ada manusia yang mahu menolak sunnah baginda SAW.

Mengamalkan sunnah bermakna kita mencintai Nabi SAW dan menolak sunnah bermakna kita mempertikai dan tidak mencintai Baginda SAW. Walhal kita telah diperingatkan tentang kaitan antara mengasihi Rasulullah SAW dengan iman. Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya. – (riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, amat penting bagi kita peka terhadap sebarang usaha mengembangkan ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam ini. Jangan kita biarkan ideologi ini merebak dan menyelinap dalam masyarakat sehingga akhirnya menjadi barah.

Pihak berkuasa agama dan kerajaan perlu bertindak tegas membanteras kumpulan antihadis ini kerana ia merosakkan akidah orang Islam. Jangan bagi ruang kepada individu atau kumpulan ini bergerak dan mempengaruhi masyarakat awam kerana kesannya bukan setakat sesat di dunia tetapi balasan neraka di akhirat kelak.

Mengenai buku tulisan Kassim Ahmad iaitu Hadis Satu Penilaian Semula dan Hadis Jawapan Kepada Pengkritik, tidak perlu kita bertegang urat membahaskannya semula.

Fatwa Negeri Sabah pada 1977, memutuskan bahawa buku tersebut bercanggah dengan akidah Islam dan pengarang buku itu termasuk dalam golongan murtad. Orang yang telah terikut dengan ajaran Kassim Ahmad, wajib segera bertaubat. (Tarikh diwartakan 18 Sept. 1986)

Demikian juga Majlis Fatwa Negeri Perak dalam keputusan pada 27 September 1995 yang antara lain menyebut mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran dan fahaman yang terkandung dalam buku Hadis Satu Penilaian Semula dan Hadis Jawapan Kepada Pengkritik adalah murtad. – (Tarikh diwartakan 15 Februari 1996)

Apa yang penting, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama berkaitan hukum-hakam agama supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai cubaan memesongkan akidah. Jangan kita terpengaruh dengan kepetahan individu berhujah menggunakan logik akal atau yang membuat pentafsiran sendiri tentang al-Quran dan hadis.

Rasulullah SAW, seorang insan sempurna dan maksum pun tidak mentafsir al-Quran sendiri.

Sebaliknya, Baginda mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Al-Quran pula ditafsir berasaskan hadis Nabi SAW kerana Rasulullah itu diajar mengenai kandungan al-Quran. Dan, salah satu ilmu dalam mentafsir al-Quran dan hadis adalah kemahiran dan penguasaan bahasa Arab yang baik. Tanpa ilmu tersebut, seseorang itu tidak dapat mentafsir atau membahaskan kalam Allah dan sunnah Nabi SAW.

Bagi orang awam dan mereka yang sedang mencari atau mendalami bidang agama, hendaklah berguru dengan pakar bertauliah dan diiktiraf akan kealimannya. Jangan berguru dengan sembarangan orang. Firman Allah SWT dalam hal ini bermaksud: Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara). – (an-Nahl: 43)

http://pondok1msia.org.my
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment