Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Saturday, March 1, 2014


Kursus yang dihadiri Mysarra banyak membantunya mengenal Islam lebih dekat.

ORANGNYA berkulit putih sederhana tinggi dan mempunyai senyuman yang manis namun tergambar di wajahnya ciri-ciri kental seorang pendakwah.

Pertemuan singkat Nur Islam dengan pemilik nama Mysarra Shafiah Disim, 19, atau mesra dipanggil Mysarra menerapkan satu stigma bahawa muda atau tua, langsung tidak terputus impian untuk menyebarkan dakwah di bumi ALLAH SWT.

Pura-pura Islam

Mysarra menceritakan, Islam dan dirinya terlalu dekat tambahan pula, mamanya yang bertugas sebagai guru memeluk Islam sejak lama dulu. Disebabkan itu, semua guru di sekolahnya tahu mamanya memeluk Islam dan memberitahu semua anaknya turut menukar agama.

“Bermula darjah satu, saya belajar Pendidikan Islam sama seperti murid-murid beragama Islam yang lain. Saya belajar berdoa, bersolat, berpuasa dan perkara lain yang dilakukan umat Islam.

“Saya rapat dengan nenek, nenek pernah tegas dengan saya dan mengatakan jangan ikut mama masuk Islam, lagi pun ketika itu, mama mengajar di Kuala Lumpur sedangkan kami adik-beradik berada di Sabah,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri pun tidak mahu masuk Islam, bayangkan semasa di sekolah dipaksa pakai tudung dan hidup cara Islam sedangkan hati meronta tidak mahu.

Mysarra terpaksa berpura-pura dengan alasan semua gurunya tahu dia Islam. Di sekolah dia Islam tetapi, sebaik tamat waktu persekolahan dia menyertai program latihan missionary untuk menyebarkan  agama Kristian.

Hidayah ALLAH


Masih segar dalam ingatan, semasa di Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Selangor, dia masih meneruskan kepura-puraannya menjadi seorang Muslim.

“Kami, pelajar tingkatan dua perlu menghafaz ayat al-Quran “la iqro hafidin yang bermaksud tiada paksaan dalam beragama”. Saya membacanya seperti biasa dan langsung tidak ada debaran dalam hati ini.

“Sehinggalah abang saya memaksa untuk memeluk Islam. Saya gaduh besar dengan dia sampai mama menangis cakap tak perlu masuk Islam kalau adik tak nak dan jangan paksa adik. Sejujurnya, saya semakin benci pada Islam.

“Tetapi entah kenapa, saya asyik memikirkan ayat la iqro hafidin, kemudian saya terfikir dan tertanya kenapa orang Islam suka paksa orang bukan Islam memeluk Islam. Saya baca balik maksud ayat itu secara berulang kali,” katanya yang kini sudah bergelar isteri.

Pada hemat Mysarra mungkin bukan Islam yang memaksa tapi penganutnya yang keterlaluan dan memaksa, hati Mysarra tetap tidak terdetik untuk peluk Islam. Berbulan lamanya dia memikirkan hal itu dan hatinya berasa tidak tenteram.

Akhirnya apabila hidayah sudah diberikan Yang Esa, Mysarra melafazkan syahadah pada 12 Julai 2010. Dengan tiba-tiba, segala kerunsingan dan ketidaktenteraman hatinya selama berbulan-bulan hilang sekali gus.

Berbelah bahagi

Perasaan tidak selesa apabila memeluk Islam masih lagi dirasai Mysarra yang ketika itu baharu berusia 16 tahun, kerana itu dia mula mencari penyelesaian bagi mengenal Islam secara lebih jauh. dia mula menghadiri kelas agama anjuran Mais, mengikuti kursus perkaderan lanjutan dengan Brother Shahkirit.

"Masih terngiang-ngiang kata-kata Bro Shah, "Banggalah kerana dapat memilih Islam sendiri bukan kerana keturunan," Saya masih rasa Islam itu agama yang teruk. Di sekolah, saya mengikuti kem ibadah dan hampir berasa putus asa serta bertindak mahu keluar Islam.

"Sebenarnya, ketika saya nak masuk Islam, saya juga rasa menyesal sebab saya tidak mungkin berpatah balik, tetapi saya kentalkan hati untuk mendekati Islam.

Saya mengikuti kursus perkaderan (merekrut pendakwah pergi kuliah hadis). Bermula dari situlah, saya berasa seperti hidup pada zaman Nabi SAW. Hebatnya Nabi SAW! Baginda SAW bangun menghormati mayat seorang Yahudi dan apabila sahabat bertanya, Baginda SAW menjawab: "Kerana dia seorang insan,".

Betapa mulianya akhlak Baginda SAW dan sahabat. itulah cerita yang paling terkesan di hati saya," katanya tersenyum kagum menjadi seorang Muslim.

Mysarra mengatakan dia berasa mahu menangis kerana cerita sebegini tidak pernah diperdengarkan kepadanya semasa zaman sekolah dahulu.

Tukar nama

Ramai teman persekolahannya tidak tahu dia bukan Islam kerana dia memakai tudung ke sekolah. Mereka terkejut apabila Mysarra daftarkan nama untuk peperiksaan PMR. Mereka tertanya-tanya siapakah Mysarra Shafiah Disim?. Itu adalah nama Islamnya, mereka semua terkejut dengan pengakuan Mysarra.

Segelintir kawannya memberi respons negatif, kenapa masuk Islam? Islam tak best. Kena pakai tudung dan tidak boleh pegang-pegang. Ada pula yang cakap, saya ingat awak anak ustazah sebab bertudung labuh di sekolah. Biarkan, mereka boleh berfikir apa sahaja.

Mysarra kini aktif dalam menyebarkan dakwah dan banyak terlibat dalam mengadakan kursus untuk bukan Islam dan Islam sendiri. Walaupun usianya masih muda, dia langsung tidak gentar malah sentiasa bersemangat dalam menyebarkan aktiviti dakwah.

Sumber : Sinar Harian
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment