Bulan Syaaban adalah bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w. melakukan Isra` dan Mikraj dan bulan Ramadhan di mana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan dan Lailatul Qadar. Sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.
Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati dari segala cacat dan bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Pertukaran arah kiblat
Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah s.w.t telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara` bin Azib maksudnya: "Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.”
Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ``Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ``Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah s.w.t untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah s.w.t. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah s.w.t pada bulan Syaaban.
Perang zat al-riqa`
Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.
Sumber :
Perang banu al-mustalaq daripada khuza`ah
Seramai 1, 000 tentera Islam telah bertembung dengan Banu al-Mustalaq di satu tempat bernama al-Mari’ pada bulan Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pihak musuh telah melarikan diri selepas berlaku peperangan yang pendek.
Sumber :
Malam nisfu syaaban
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)
Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyebut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”