Meniti Jalan Sunnah, Membentuk Pribadi Muslim dan Keluarga Sakinah untuk Mewujudkan Generasi Rasulullah
Tuesday, July 3, 2012


Diceritakan bahawa ada dua orang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah SAW  yang berkawan baik saling  menziarahi antara satu dengan lainnya. Mereka adalah Sha’b bin Jastamah dan Auf bin Malik.

“Wahai saudaraku, sesiapa di antara kita yang pergi (meninggal dunia) terlebih dahulu, hendaknya saling kunjung mengunjungi.” kata Sha’b kepada Auf di suatu hari.

“Betul begitu?” tanya Auf.

“Betul.” jawab Sha’b.

 Sudah ditakdirkan Allah, Sha’b meninggal dunia terlebih dahulu. Sepertimana janji mereka, pada suatu malam Auf bermimpi melihat Sha’b datang mengunjunginya.

“ Apakah benar ini engkau wahai saudaraku?” tanya Auf.

“Benar.” jawab Sha’b.

“Bagaimana keadaan dirimu?”

“Aku mendapatkan keampunan setelah mendapat musibah.”

 Apabila Auf melihat pada leher Sha’b, dia melihat ada tanda hitam di situ. Auf merasa hairan sekali.

“Apa gerangan tanda hitam di lehermu itu?” tanya Auf.

“Sahabatku, ini adalah akibat sepuluh dinar yang aku pinjam dari seorang Yahudi. Tolong jelaskan hutang tersebut. Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa tidak satu pun kejadian yang terjadi di dalam keluargaku. Semua terjadi pula setelah kematianku.”

Perbualan di antara kedua-dua lelaki yang bersahabat itu terhenti kerana Auf terjaga dari tidurnya. Dia menyedari bahawa semua yang dimimpikannya itu merupakan pelajaran dan peringatan baginya. Pada sebelah paginya dia segera pergi ke rumah keluarga Sha’b. Pasti ada perkara yang masih belum diselesaikan Sha’b sebelum kematiannya. Tambahan lagi soal sepuluh dinar itu yang mungkin menjadi hutang yang masih tidak dibayar.

“Selamat datang wahai Auf. Kami sangat gembira dengan kedatanganmu.” kata keluarga Sha’b.


“Beginilah keakraban kita sebagai saudara seagama. Tetapi hairan sekali,mengapa engkau datang setelah Sha’b tidak ada di dunia?”

Auf menerangkan maksud kedatangannya. Diceritakan semua mimpi yang dialami dan setiap tutur kata yang didengar daripada Sha’b. Keluarga Sha’b juga percaya bahawa mimpi itu benar dan membawa petanda Sha’b meminta pertolongan. Mereka pun mengumpulkan sepuluh dinar dari wang simpanan Sha’b sendiri lalu diberikan kepada Auf agar boleh dibayar semula kepada si Yahudi.

 Auf segera pergi ke rumah si Yahudi untuk menjelaskan hutang Sha’b.

“Adakah Sha’b mempunyai hutang sesuatu denganmu?” tanya Auf.

“Rahmat Allah ke atas Sha’b Sahabat Rasulullah S.A.W. Benar, aku telah memberinya pinjaman sebanyak sepuluh dinar,” jawab si Yahudi.

Setelah Auf menyerahkan sepuluh dinar, si Yahudi berkata: “Demi Allah dinar ini serupa benar dengan dinarku yang dipinjamnya dulu.”

Dengan demikian, Auf telah melaksanakan amanah dan pesan saudara seagamanya yang telah meninggal dunia. Bebas sudah Sha’b dari beban hutang yang digalasnya sehingga dia boleh kembali aman di alam roh  di sana.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment